Lepaskan tawaran berlakon, Anzalna fokus pada keluarga

Iklan
ANZALNA - Duta kempen Flora Nostalgia Raya oleh Isetan (3)

MESKIPUN kelibatnya kini jarang kelihatan di kaca televisyen mahupun acara-acara hiburan, pelakon Anzalna Nasir mengakui tidak pernah hilang dari radar dunia seni tanah air.

Cuma selepas bergelar ibu, bintang drama Dendam Aurora itu memperlahankan langkahnya dalam kerjaya kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.

Iklan
Iklan

Selesa menjalani rutin sebagai ibu kepada Mohamad Eidress, 3, Mohamad Emirhan, 10 bulan, tanpa mendapatkan khidmat pembantu, Anzalna akur melepaskan beberapa tawaran berlakon buat sementara waktu.

"Kehidupan saya berubah seratus peratus selepas bergelar ibu. Daripada seorang anak, kini dua, saya gembira dapat menguruskan mereka sendiri di rumah, tanpa mengambil pembantu.

Iklan

"Sejak ada anak, fokus utama saya adalah keluarga. Malah saya sanggup tolak banyak tawaran berlakon kerana anak. Saya jenis ibu yang begitu. Anak adalah segala-galanya. Suami tidak pernah meletakkan sebarang syarat, tetapi saya sendiri yang mengambil pendekatan itu,” ujarnya kepada SinarPlus.

[caption id="attachment_110034" width="800"] Anzalna bersama suami dan anak-anak.[/caption]

Iklan

Berkongsi sambutan Ramadan pada tahun ini, finalis Dewi Remaja edisi 2009/2010 mengakui kesibukannya berganda untuk memastikan semua keperluan keluarga diuruskan dengan baik, selain tanggungjawab lain yang turut tergalas di bahunya.

"Ramadan tahun lalu, saya sedang hamil anak kedua dan saya hanya fokuskan pada kandungan sahaja. Tahun ini kesibukannya pasti berganda, tetapi saya sudah bersedia.

"Sejak dulu saya memang sentiasa teruja menantikan Ramadan dan perasaan itu menjadi lebih lagi apabila sudah bergelar isteri dan ibu. Saya harap Ramadan kali ini dapat dijalani dengan penuh makna,” kata wanita berusia 35 tahun itu lagi.

Wajah kempen raya Isetan

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya selaku wajah kempen Flora Nostalgia Raya oleh Isetan Kuala Lumpur baru-baru ini.

[caption id="attachment_110035" width="800"] Anzalna sebagai duta kempen raya Isetan.[/caption]

Kempen yang menghimpunkan koleksi Aidilfitri oleh 25 jenama fesyen terkenal tanah air itu diinspirasikan daripada corak bunga-bungaan tekstil Melayu tradisional dengan sentuhan moden itu mencuri perhatian beliau yang sinonim dengan gelaran ikon fesyen oleh para peminatnya.

"Saya suka cantik dan bergaya pada hari raya, terutama pada raya pertama dan kedua. Biarpun sibuk menguruskan anak, saya tetap akan memberi perhatian kepada perkara ini kerana raya hanya setahun sekali.

"Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada kempen Raya Isetan dan tertarik dengan tema serta koleksi Flora Nostalgia Raya sangat cantik dan mempesonakan. Dalam masa sama, saya juga teruja untuk berkongsi minat dalam fesyen dan gaya peribadi saya dengan orang ramai.

"Insya-ALLAH saya juga akan terlibat beberapa aktiviti sepanjang kempen tersebut berlangsung dari 17 Mac hingga 27 April depan, termasuk majlis berbuka puasa bersama peminat bertuah. Saya juga dalam perancangan untuk memberi sumbangan peribadi dalam bentuk pakaian raya untuk anak-anak yatim,” tuturnya mengakhiri perbualan..

(FOTO: Isetan)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.