Ketenangan Ziana Zain, sentiasa positif dan realistik dengan kehidupan

Iklan
Ziana Zain

SENTIASA positif. Itu yang dapat disimpulkan tentang sosok penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain yang cukup disenangi ramai dengan personaliti dan caranya membawa diri.

Bukan sahaja sebagai selebriti, tetapi juga sebagai ibu kepada empat anak yang sedang membesar, tentunya menuntut pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu menunjukkan contoh terbaik.

Iklan
Iklan

Selepas perkahwinannya bersama bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri berakhir dengan perpisahan dan membawanya kepada status ibu tunggal, penyanyi Menadah Gerimis itu sentiasa berusaha memberi yang terbaik buat anak-anaknya.

Paling penting, Ziana tidak pernah memutuskan hubungan mereka dengan bekas suami. Sebaliknya mengingatkan semua permata hati kesayangan agar selalu bertanya khabar dan berhubung dengan bapa mereka.

Iklan

"Walaupun saya dan bekas suami sudah tiada apa-apa, saya tidak pernah memutuskan hubungan anak-anak dengan bapa mereka. Malah selalu mengingatkan masing-masing tentang tanggungjawab sebagai anak dan jangan sesekali derhaka kepada ibu bapa.

"Anak-anak selalu berjumpa dengan bekas suami dan saya tiada halangan kerana itu adalah bapa mereka.

Iklan

"Kalau kita ditegah daripada berjumpa bapa sendiri, sudah tentu kita juga akan marah. Jadi jangan buat begitu. Tunjukkan contoh yang baik,” ujarnya kepada SinarPlus.

Ziana yang ditemui pada majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini baru-baru ini berkata, dia tidak mahu memisahkan kasih sayang keempat-empat zuriatnya daripada bapa sendiri.

[caption id="attachment_111329" width="800"] Ziana tidak mahu pisahkan kasih sayang anak-anak dengan bapa mereka.[/caption]

Tegasnya, apa yang berlaku antara dirinya dan bekas suami tidak ada kaitan dengan anak-anak.

"Saya dan bekas suami kini menjalani kehidupan masing-masing. Hubungan kami sudah lepas dan tidak lagi berhubung. Namun pertaliannya dengan anak-anak tetap sama.

"Masalah kita dengan bekas suami sahaja dan jangan libatkan anak-anak. Jangan berkata negatif tentang bapa mereka.

"Saya mahu berikan contoh yang baik agar anak-anak saya nanti jadi suami dan isteri yang baik pada pasangan mereka nanti,” tegasnya.

Tidak simpan dendam

Dalam pada itu, wanita yang bakal menginjak usia 55 tahun pada 2 Mei ini, mengakui sudah memaafkan dan tidak pernah menyimpan dendam terhadap bekas suami atas apa yang berlaku sebelum ini.

Ungkap Ziana, kehidupan masih panjang dan dia mahu menjalaninya dengan semangat yang positif tanpa sebarang bebanan perasaan yang boleh mengganggu ketenangannya bersama anak-anak dan keluarga.

"Saya sudah lama maafkan dia dan ingat pesan ibu untuk sentiasa memaafkan orang kerana kita juga mungkin ada salah silapnya. Saya mahu hidup aman dan tenang serta enggan membebani perasaan dengan perkara-perkara negatif.

"Memori tetap memori, kita tak boleh padam. Hidup saja dengannya tapi dalam cara yang positif. Kita tak boleh terperangkap dalam masa silam. Memang ia (memori) akan datang sekali-sekala, itu biasa. Namun kita kena buat keputusan untuk terus melangkah ke depan.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan kehidupan sekarang bersama anak-anak, keluarga dan rakan-rakan di sekeliling. Masa akan datang saya tidak pasti, tetapi ketika ini saya sangat bersyukur dengan apa yang saya miliki,” katanya yang bakal menjayakan konsert Raya sepanjang zaman di dewan Filharmonik, Petronas Kuala Lumpur pada 6 Mei ini.

[caption id="attachment_111331" width="800"] Ziana kini sibuk dengan pelbagai aktiviti seni.[/caption]

Berkongsi tentang persiapan dan sambutan raya pada tahun ini, kata Ziana, sebagai ibu, semestinya dia akan sibuk memastikan segala keperluan raya anak-anak tersedia sempurna.

Selesa untuk membuat persiapan lebih awal, ibu kepada Muhammad Aiman; 23, Muhammad Ammar; 19, dan pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kini berusia 14 tahun itu tidak mahu kelam kabut pada saat-saat akhir.

Apatah lagi tuan punya badan juga sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, selain banyak memenuhi undangan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

"Sejak dulu saya memang suka buat persiapan lebih awal. Baju dan keperluan raya anak-anak saya sudah siapkan sejak Disember lalu lagi. Mereka dah besar, cita rasa masing-masing pun pelbagai. Jadi senang kalau kita sediakan lebih awal agar tak kelam kabut.

"Saya pula kebetulan agak sibuk sepanjang Ramadan tahun ini dengan pelbagai aktiviti termasuk undangan majlis berbuka puasa dengan pelbagai pihak. Setiap hujung minggu, jadual mesti penuh. Jadi kena aturkan betul-betul,” katanya yang saban tahun meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Shah Alam dan Melaka.

(FOTO: RIZMAN RUZAINI)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.