BINTANG filem antarabangsa, Jackie Chan menegaskan untuk terus aktif dalam bidang lakonan selagi kudratnya masih ada dan kehadirannya diterima ramai.
Jackie, 68, menyifatkan komitmen dan dedikasi berterusan dalam dunia seni merupakan caranya menunjukkan kasih sayang serta penghargaan kepada peminat di seluruh dunia atas sokongan mereka terhadap kerjayanya selama ini.
Terbaru, aktor yang cukup sinonim dengan lakonan aksi itu tampil dengan filem Ride On, arahan Larry Yang yang bakal menemui penonton pada 13 April ini dalam dua bahasa iaitu Kantonis dan Mandarin.
Masih lagi ligat dan lincah, Jackie melakonkan watak seorang pelakon lagak ngeri bernama Luo yang tinggal bersama kuda kesayangannya Red Hare dan dalam masa sama mempunyai konflik dengan anak perempuannya, Bao.
Filem ini mengetengahkan tentang kehidupan dan semangat pelakon lagak ngeri. Malah beberapa karakter ikonik Jackie menerusi filem lakonannya sebelum ini turut dimasukkan sebagai penghormatan kepada Ikon Global Antarabangsa itu.
Selain Jackie, filem aksi tersebut turut dibintangi Liu Haocun, Kevin Guo, Wu Jing, Andy On, Joey Yung dan ramai lagi.
[caption id="attachment_111614" width="800"] Jackie (empat dari kiri) bersama barisan pelakon dan filem Ride On.[/caption]
Jackie dalam kenyataannya ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem tersebut di Beijing, China, baru-baru ini berkata, bukan sahaja sebagai aktor yang berada di depan kamera, tetapi dia juga pernah melalui pengalaman getir bergelar pelakon lagak ngeri.
"Saya bermula sebagai pelakon lagak ngeri dan begitu mengenali dunia itu. Kami sangat sengsara pada masa itu di mana hanya mendapat bayaran berjumlah 5 yuan sehari.
"Kamilah yang paling awal berada di set dan disuruh melakukan aksi berbahaya. Pada masa dulu hampir tiada langkah keselamatan yang diambil dan kita perlu menjaga diri sendiri.
"Kami dimarahi sepanjang masa dan kadang-kala dizalimi hingga menitiskan air mata, tetapi saya tidak pernah membiarkan ia mematahkan semangat,” katanya.
Sokongan peminat
Tambah Jackie, penglibatannya dalam bidang lakonan bukan kerana wang ringgit, tetapi dedikasinya sebagai anak seni.
"Satu ketika kaki saya pernah patah pada waktu pagi dan terpaksa mula bekerja pada waktu malam. Saya cuba meneruskan penggambaran walaupun berada di atas kerusi roda.
"Ia bukan untuk wang, tetapi kami dilahirkan untuk berada dalam industri hiburan dan kerana seseorang perlu melakukannya,” jelasnya yang mahu semangat pelakon lagak ngeri perlu dilindungi.
Pada tahun ini, genap 60 tahun bintang kelahiran Hong Kong itu berada dalam industri filem dan mahu terus berkongsi pengalamannya menrusi karya-karya yang dihasilkan untuk tontonan umum.
"Tahun ini adalah tahun ke-60 saya dalam industri. Daripada seorang yang tidak dikenali hingga sekarang, saya telah mendapat sokongan peminat di seluruh dunia.
"Selagi saya boleh bergerak dan melawan, saya berharap dapat buat filem setiap tahun untuk penonton dan peminat saya di seluruh dunia,” tuturnya yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-68 pada 7 April lalu.
[caption id="attachment_111615" width="800"] Jackie pada majlis tayangan perdana filem Ride On di Beijing, China baru-baru ini.[/caption]
Filem Ride On dibawakan oleh Pemegang Hak Pengedaran Malaysia, Shanghai Pictures dan diedarkan di Malaysia oleh Lotus Five Star bersama rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing.
Ketika sesi junket eksklusif bersama rombongan dari Malaysia, Jackie turut memberitahu hasratnya untuk bertemu peminat di Malaysia pada tahun depan.
"Terima kasih peminat Malaysia dan harap dapat berjumpa anda semua tidak lama lagi di Malaysia,” katanya.
(FOTO: LOTUS FIVE STAR)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.