SELEPAS lapan tahun berlalu, Nora Danish kembali menjayakan watak Anis yang pernah mencuri perhatian ramai dalam filem aksi blockbuster terlaris Polis Evo, menerusi sekuel terbaharunya yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 25 Mei ini.
Teruja menantikan reaksi penonton, Nora menyifatkan Polis Evo 3, arahan Syafiq Yusof sebagai naskhah yang bakal memberikan kepuasan maksimum kepada peminat filem aksi.
"Selepas lapan tahun, watak Anis kembali semula dalam Polis Evo 3 dan tentunya tampil dengan karakter yang lebih matang berbanding dengan Anis yang pernah disaksikan dalam filem pertama dulu.
"Apa yang pasti, sekuel ketiga filem ini kembali mengangkat elemen kekeluargaan dan sedikit tentang hubungan cinta antara Anis dan Inspektor Khai yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam.
"Biarpun tidak terlibat dengan adegan aksi, tetapi saya berdepan cabaran lain termasuk mempelajari dialek Terengganu yang memang tidak mudah. Apa-apa pun, alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kami sendiri tidak sabar menunggu filem ini ditayangkan di pawagam,” ujarnya.
Fokus keluarga
Dalam perkembangan lain, bintang 41 tahun yang kini sudah memiliki produksi sendiri dikenali sebagai ND Production itu sekali lagi akan ke Indonesia untuk menjalani penggambaran filem terbitan produksi di sana.
[caption id="attachment_113099" width="800"] Nora bersama pengarah dan barisan pelakon Polis Evo 3.[/caption]
"Insya-ALLAH selepas raya ini saya akan terbang ke Jakarta untuk menjalani penggambaran sebuah filem yang judulnya akan dikongsikan nanti.
"Sejak melahirkan anak kedua, saya agak selektif memilih nakshah kerana mahu meluangkan lebih masa untuk anak dan keluarga.
"Jadi saya harap penampilan dalam filem ini dapat memberi kepuasan bukan sahaja kepada saya, tetapi juga peminat,” katanya yang pernah membintangi filem Indonesia, Surga Yang Tak Dirindukan 2.
Berkongsi sambutan Aidilfitri pada tahun ini, ibu kepada dua anak itu menyifatkan ia sebagai momen paling manis yang dinantikan bersama keluarga saban tahun.
"Sebenarnya sambutan raya saya dan keluarga hanya biasa-biasa sahaja. Baju raya pun tak banyak, sekadar dua pasang untuk raya pertama dan kedua sahaja kerana kami hanya melakukan persiapan serba ringkas.
"Cuma paling penting pada saya adalah momen untuk berkumpul bersama keluarga. Selepas sehari dua beraya, kami sambung pergi bercuti untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi