TATKALA kebanyakan penyanyi memilih untuk melancarkan lagu raya ketika ini, lain pula haluannya buat gandingan Azmi Saat dan One Path yang muncul dengan sebuah single berjudul Apa Khabar Cinta.
Menganggap pelancaran single itu sebagai satu perjuangan, anggota One Path, Ammar berkata, lagu tersebut bersesuaian dengan isu yang melanda masyarakat di bumi Palestin, saat umat Islam di Malaysia sibuk menyambut Aidilfitri.
"Bila terbaca berita serangan dan sekatan yang kerap berlaku sepanjang Ramadan, kami rasa terpanggil untuk ketengahkan mesej perjuangan dan solidariti bersama rakyat Palestin.
"Bukan tak nak keluarkan lagu raya seperti artis-artis lain. Seronok bila ada lagu raya sendiri.
"Cuma, bila saya tengok segala yang berlaku sepanjang Ramadan, kemudian warga Palestin terus diganggu, disekat semasa solat Aidilfitri saban tahun, sudah sampai masanya untuk kami lebih proaktif walaupun dalam musim perayaan.
"Matlamat kami supaya masyarakat tidak lupakan kemelut yang melanda rakyat Palestin dalam keseronokan kita menyambut Aidilfitri,” jelasnya.
[caption id="attachment_113374" width="800"] Selepas Nazrey Johani, One Path memilih untuk bekerjasama dengan Azmi Saat.[/caption]
Tambah Haseef pula, mesej penyatuan dan saling bermaaf-maafan dalam lagu tersebut sejajar dengan semangat yang sedia ada ketika sambutan hari raya.
"Kesatuan sesama ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat adalah kekuatan kita yang sebenar. Hari raya adalah kesempatan terbaik untuk kita kembali bersatu.
"Bila lagi masa yang lebih sesuai nak ajak semua bermaaf-maafan dan bersatu kalau bukan sekarang?” ujar Haseef tenang.
Pengalaman baharu
Bagi vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat, Apa Khabar Cinta adalah satu pengalaman berharga apabila dapat bekerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia dan Tarbiah Sentap.
[caption id="attachment_113373" width="800"] Azmi menyifatkan kerjasama dengan One Path sebagai pengalaman baru.[/caption]
"Saya mula mengenali nama Tarbiah Sentap sejak tahun 2017 kalau tak salah. Memang pernah terlintas keinginan untuk bekerjasama dengan mereka. Alhamdulillah, akhirnya tertunai juga.
"Bermula dari sesi rakaman sampai ke suntingan video muzik, semuanya santai sahaja namun tetap mementingkan kualiti,” katanya.
Tambah Azmi, lebih bermakna, ia pengalaman pertamanya menyanyikan lagu dalam genre berbeza.
"Bagi saya, faktor paling penting dalam sebuah lagu adalah melodi yang mudah untuk lekat dalam kepala pendengar.
"Alhamdulillah, sekali dengar sahaja terus lekat melodi lagu Apa Khabar Cinta ini dalam kepala saya. Jadi, proses untuk menghafal seni kata sangat mudah.
"Cuma, sejujurnya saya tak biasa dengan genre sebegini. Jadi, agak kaku juga waktu sesi rakaman. Syukur dapat penerbit yang sangat membantu,” jelas Azmi.
Senada dengan Haseef, Azmi juga turut berharap agar lagu tersebut dapat menyuntik semangat perpaduan yang erat dalam masyarakat.
"Mudah-mudahan lagu ini mendapat tempat dalam masyarakat, sekali gus dapat memberikan galakan kepada rakyat Malaysia untuk perkukuhkan perpaduan, mengingati dan membantu saudara kita di Palestin,” katanya.
Karya yang tercetus hasil daripada kerjasama erat antara Cinta Gaza Malaysia dan Tarbiah Sentap Production itu kini boleh didengari di seluruh platform digital.