KETAKUTAN terkini masyarakat Malaysia termasuk beberapa negara jiran lain adalah masalah strok haba.
Beberapa kematian yang dicatatkan di negara ini membuatkan ramai semakin bimbang.
Kepada Pengasas dan Pengarah Perubatan Klinik Iris, Shah Alam, Selangor Dr Arisman Wenge Abdul Rahman (gambar), SinarPlus mendapatkan penjelasan lanjut.
Terlebih dulu, kata Dr Arisman, terdapat tiga keadaan yang disebabkan kepanasan melampau.
"Pertama adalah kejang haba iaitu yang paling ringan, kedua dikenali sebagai kelesuan haba dan yang teruk serta berbahaya adalah strok haba," katanya.
Jelas beliau, strok haba adalah pemanasan tubuh berlebihan dalam keadaan suhu badan seseorang meningkat hingga 40 darjah Celcius.
Selain itu, ia juga boleh disebabkan pendedahan berpanjangan atau senaman fizikal dalam cuaca yang ekstrem panas.
Ujar pegawai perubatan itu lagi, strok haba tidak boleh dipandang enteng.
Masakan tidak, kelewatan mendapatkan rawatan boleh membawa maut hanya dalam masa beberapa jam sahaja.
Selanjutnya, Dr Arisman menyenaraikan gejala-gejala strok haba yang wajib dikenal pasti. Antaranya:
-Suhu badan mencecah 40 darjah Celcius atau lebih.
-Fungsi otak terjejas. Antaranya tidak dapat berfikir dengan normal, bercelaru atau hampir pengsan.
-Pengsan atau koma.
-Pertuturan terjejas dan sawan.
-Mental terganggu atau delirium.
Beritahu beliau lagi, strok haba berlaku kerana badan sudah tidak mampu mengawal lagi suhu sehingga (suhu) tubuh meningkat dengan mendadak dan cepat. Malah, mekanisme peluh juga gagal.
Keadaan itu, ujar Dr Arisman, boleh berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 minit sahaja.
Lebih menakutkan, strok haba boleh menyebabkan kecacatan seumur hidup atau mati apabila tidak mendapat rawatan dengan kadar segera.
Menjawab satu pertanyaan, ujar beliau, golongan berisiko tinggi yang terdedah kepada situasi tersebut ialah kanak-kanak, bayi dan warga emas.
"Golongan yang saya nyatakan itu menyimpan kandungan air dalam badan lebih rendah atau sedikit berbanding orang dewasa.
"Selain itu, mereka dengan penyakit kronik jantung dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengancam nyawa jika mengalami strok haba," ungkapnya.
BACA JUGA: Strok haba ibarat radiator kereta pecah, cepat bertindak waspada tanda awal sebelum ragut nyawa
BACA JUGA: Post-mortem dapati organ dalaman hangus, kanak-kanak pergi selamanya asbab strok haba, dehidrasi
BACA JUGA: Strok haba: Ibu bapa jangan abai tanda anak sakit ketika cuaca panas elak hilang nyawa
Rawatan pertama
Dr Arisman turut berkongsi pertolongan pertama yang boleh dihulurkan orang ramai jika mengetahui individu terdekat mengalami strok haba. Berikut langkah-langkahnya:
-Buat panggilan kecemasan ambulans (999) atau bawa terus ke klinik dan hospital berdekatan dalam tempoh 10 hingga 15 minit pertama.
-Pindahkan mangsa ke tempat lebih sejuk dan terlindung serta selamat.
-Baringkan mangsa dan tinggikan kakinya.
-Buka baju mangsa atau longgarkan.
-Sejukkan tubuh mangsa dengan cara:
-Mandikan atau siram dengan air sejuk.
-Lap dengan tuala sejuk seluruh badan terutama pada kepala.
-Balut dengan pakaian atau kain basah yang sejuk sehingga petugas kesihatan sampai.
-Halakan pendingin hawa atau kipas ke arah badan mangsa.
-Sentiasa bersama mangsa dan pastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sedar dengan cara bercakap dengannya.
-Pastikan ruang udara yang baik.
Bagaimana mencegah strok haba terutama dalam kalangan murid dan pelajar sekolah?
Dr Arisman mencadangkan agar ibu bapa dan para guru sentiasa mengingatkan agar minum air kosong sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas atau 2 liter (l) sehari. Bagi kanak-kanak, disarankan minum 1.5l air.
"Ajar juga mereka untuk menghitung berapa kerap mereka kencing sehari di sekolah. Jika dalam tempoh lapan jam mereka tiada air kencing, itu bermaksud mereka sedang mengalami dehidrasi.
"Maka, segera minum air dengan cukup. Jangan minum seliter air terus dalam masa singkat atau kurang dari sejam. Langkah itu amat bahaya kerana boleh tercetus risiko mabuk air atau water intoxication pada tubuh, sekali gus boleh menyebabkan sawan dan koma," katanya.
Selain itu, pegawai perubatan tersebut menasihatkan orang ramai agar tidak berada di dalam kereta yang diletakkan di bawah pancaran matahari.
Walaupun menggunakan pendingin hawa, suhu kereta akan meningkat 20 darjah Celsius dalam masa 10 minit apabila berada bawah cahaya matahari tanpa perlindungan," terangnya.
FOTO PEXELS & FREEPIK