AKTRES Lisdawati, 45, berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji 1444H pada Isnin.
Bagaimanapun suaminya yang juga pelakon dan pengarah, Fauzi Nawawi, 51, tidak turut serta dan hanya mengiringi Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Ya Allah peliharalah Dia untuk ku. Berkatilah perjalanannya, rahmatilah ibadahnya dan lancarkanlah fardhu haji untuknya.
"Aku serah segalanya pada mu Ya ALLAH. Selamat jalan sayangku," coret Fauzi bersama beberapa gambar dan video di Instagram miliknya.
Dalam hantaran video sama kedengaran Lisdawati menitipkan pesanan buat suaminya itu.
"Jaga anak-anak, jaga rumah, rajin-rajin, nanti saya kemas rumah, masak," ujarnya ringkas.
Sementara itu, Lisdawati menerusi hantaran di Instagramnya menyifatkan kehidupan seperti satu perjalanan jauh dan perjuangan yang belum selesai.
"Perjalanan yang jauh... perjuangan masih belum selesai. Sentiasa doakan yang terbaik sesama kita.
"Mati itu pasti, kita je yang tak tahu lagi... Selagi nafas belum terhenti, tetapkan hati... Cari iman sebelum mati.
"Semoga semua yang membaca ruang ini akan dijemput menjadi tetamu-Nya nanti," tulisnya.
Fauzi dan Lisdawati mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 15, Nur Aina Fazneesya,14, Ahmad Nur Fyrdaus, 9, dan Ahmad Nur Fayyadh, 4.
Fauzi turut memiliki empat orang anak hasil perkahwinan sebelum ini iaitu Nurul Hainil Fatihah, 28, Fareez Hazwan, 26, Nurul Hana Farisya, 24, dan Mohd Fikri Hakimi, 21.