SELEPAS penghasilan filem Anwar: the Untold Story, sebuah lagi pengkisahan berkaitan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bidang pendidikan bakal dikongsikan menerusi pementasan teater Cikgu Anda.
Naskhah terbitan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan bekerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) itu akan dipentaskan di Hotel Grand Barakah, Ampang, jam 8.30 malam pada 10 Jun ini.
Pementasan tersebut merupakan salah sebuah program PAYAAM untuk mengangkat perjuangan yayasan sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang mebantu keciciran pelajar, khususnya pelajar luar bandar untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi.
Yayasan yang cukup dikenali melalui motto ‘Insan Akademik Yang Bertaqwa’ itu telah dicetuskan Anwar Ibrahim sebagai pengasas dan dianggap sebagai ikon pendidikan negara.
Kisah benar
Menurut pengarahnya, Amran Nasrudin, idea asal naskhah Cikgu Anda dicetuskan oleh Pengerusi PAYAAM, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berdasarkan cerita sebenar daripada perbualan dan perbincangan bersama ahli veteran persatuan itu sendiri.
"Skrip Garapan Anwar Idris ini diadaptasi untuk lakonan pentas bagi mengangkat nama Yayasan Anda Akademik Malaysia, sebuah institusi pendidikan swasta yang diasaskan oleh sekumpulan siswazah universiti tempatan yang dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Mac 1971.
"Beliau bersama beberapa mahasiswa telah menyumbang bakti mendidik sebahagian besar pelajar yang terkandas dalam peperiksaan untuk menyambung pelajaran mereka.
"Berdasarkan cerita benar ini, teater Cikgu Anda akan menonjolkan semangat, usaha dan ketabahan mahasiswa, selain sumbangan guru-guru dalam mewujudkan modul serta kelas pembelajaran bagi membantu kumpulan pelajar tersebut meneruskan cita-cita mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media teater Cikgu Anda di Hotel Grand Barakah, Ampang baru-baru ini.
Pementasan berdurasi satu jam 30 minit itu bakal menampilkan gandingan barisan pelakon lama dan baharu yang terdiri daripada Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Abon. Mubarak Majid, Najua P. Ramlee, Sarah Fazny dan Eira Sabariah.
Teater Cikgu Anda mengisahkan tentang Nazri, seorang pelajar daripada sebuah keluarga miskin nekad berhijrah ke kuala lumpur untuk menimba ilmu di Yayasan Anda Akademik
setelah kecewa apabila hanya mendapat gred 3 dalam peperiksaan SPM.
Sasaran utamanya adalah untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan STP dan kemudiannya menyambung pengajian di universiti. Menerusi bantuan cikgu Anwar Ibrahim, Nazri diterima menjadi pelajar. Dia bekerja di sebuah kedai makan untuk menampung segala kos perbelanjaan dan sara hidup di Kuala Lumpur.
Nazri kemudiannya lulus cemerlang dalam STP dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti Malaya.
Malam pementasan teater Cikgu Anda bakal dihadiri Anwar Ibrahim yang juga penaung PAYAAM.
Bagaimanapun pementasan tersebut diadakan secara tertutup untuk para jemputan, manakala orang ramai yang berminat untuk menonton, boleh berbuat demikian pada 9 Jun iaitu ketika sesi latihan penuh sebelum pementasan sebenar berlangsung.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi