PASANGAN pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann selamat melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah, pada Sabtu.
Dengan sekali lafaz, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, sah bergelar suami kepada Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, tepat pukul 8.35 pagi.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman bin Yahya serta sepupu Janna, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Pada majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini menyerahkan mas kahwin sebanyak RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas. Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.
Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini akui teruja untuk memulakan fasa perjalanan kehidupan baharu sebagai seorang suami dan mengharapkan agar setiap langkah mereka melayari bahtera perkahwinan diberkati.
"Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega juga majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri.
"Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami.
"This is a once in a lifetime moment in our life. Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” ujar Dini.
Sementara Janna pula turut berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.
"Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada single ke isteri dan insya-Allah, seorang ibu.
"Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya.
Janna dan Dini seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.
Sementara itu, malam tadi berlangsung majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.
Berkongsi tentang perancangan bulan madu, Dini berkata, mereka memilih lokasi berbulan madu di Koh Lipe, Thailand.
"Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana penggambaran drama sudah bermula.
"Namun kesempatan bercuti ini kami akan ke Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” katanya.
Dalam pada itu, akui Janna, mereka akan meneruskan kerja-kerja seni seperti biasa dan bersedia sekiranya dikurnia rezeki cahaya mata.
"Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, Alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.
"Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga,” kongsinya.
Majlis pernikahan pasangan ini mendapat sentuhan rekaan The Calla dan dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.
Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi