KEPADA yang mengikuti laman sosial TikTok pasti mengenali usahawan Muhd Irfan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sifu Lentik.
Lelaki yang terkenal dengan sifat ceriaan dan rajin bersedekah sering menghiburkan.
Namun kini tiada lagi hilai tawanya. Warganet dikejutkan dengan perkhabaran sedih pempengaruh itu sudah tiada lagi pada Rabu.
Berita duka pemergian Muhd Irfan disampaikan oleh beberapa rakan Tiktoker lain seperti Haqiem Stopa dan Aizat Abdul Razak.
Haqiem menerusi video yang dimuat naik memaklumkan pemergian Muhd Irfan pada jam 5 petang Rabu.
"Saya mendapat panggilan Sifu Lentik sudah tiada. Allahyarham meninggal dunia kerana sakit. Beliau memang terkenal kalau sakit memang susah nak beritahu orang
"Tak ramai yang tahu beliau sakit dan masuk hospital. Dalam pukul 5 petang beliau menghembuskan nafas yang terakhir.
"Saya mewakili pihak Sifu Lentik memohon maaf atas segala silap yang lepas dan sedekahkan al-Fatihah.
"Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dipermudahkan segala urusannya hingga ke akhirat,” katanya.
Menerusi laman sosial Facebook Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih, usahawan kosmetik itu dilaporkan meninggal dunia akibat kanser.
Menurut sumber lain, pempengaruh berusia 31 tahun itu mengalami ketumbuhan pada otak yang baru dikesan beberapa bulan lalu.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya.
Warganet meluahkan rasa sedih atas pemergian Muhd Irfan dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat.
-"Innalilahiwainailahirojiun, semoga arwah dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.”
-"Patutlah lama tak live. Dulu memang dia ada cakap hidap kanser. Salam takziah, semoga ALLAH permudah segala urusan beliau di sana. Aamiin.”
-"Salam takziah, khabar yang mengejutkan. Salam takziah dan al-Fatihah”
-"Last saya tngok live TikTok beliau nampak kurus. Smoga ALLAH ampuni dosa-dosanya dan kita semua, aamiin.”
-"Sifu selalu bersedekah kan, semoga rohnya dicucuri rahmat.”
INFO KETUMBUHAN OTAK
1-Ketumbuhan otak terjadi apabila terdapat pertumbuhan tisu otak yang luarbiasa dan tidak terkawal. Ia boleh dibahagikan kepada:
-Ketumbuhan otak primer ialah ketumbuhan yang berasal daripada tisu otak.
-Ketumbuhan otak sekunder pula adalah ketumbuhan kanser yang merebak ke otak, berasal dari bahagian tubuh lain seperti paru-paru, payudara, kelenjar prostat dan ginjal.
2-Ketumbuhan otak primer seterusnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu
Benign – ketumbuhan yang melibatkan proses pertumbuhan yang perlahan, dan tidak merebak ke anggota badan lain dan tidak pula menyerang ke tisu sekitarnya. Kebarangkalian ketumbuhan ini berulang selepas pembedahan membuangnya amat rendah.
Malignan – ketumbuhan yang melibatkan proses pertumbuhan yang pantas dan boleh menyerang ke tisu berhampiran.
3-Ketumbuhan ini jarang merebak ke tisu luar otak dan berpeluang untuk berulang kembali setelah pembedahan pembuangan sepenuhnya dilakukan.
4-Kedua-dua jenis ketumbuhan diatas boleh membesar dan menyebabkan tekanan ke atas struktur lain seperti mata yang boleh mengakibatkan kebutaan.
5-Kekerapan terjadinya ketumbuhan otak primer amat rendah. Lebih rendah lagi ketumbuhan otak malignan – dalam lingkungan 2% dari keseluruhan kanser di kalangan orang dewasa.
6-Lelaki mempunyai kebarangkalian yang lebih untuk di diagnos dengan ketumbuhan otak berbanding wanita (nisbah 1.5:1)
7-Antara gejala yang paling kerap dialami pesakit yang mengalami ketumbuhan otak adalah sakit kepala dan sawan. Sakit kepala yang dialami selalunya melibatkan keseluruhan kepala dengan tahap kesakitan tertinggi pada awal pagi dan akan beransur-ansur kurang. Ini disebabkan oleh tekanan di dalam otak yang meningkat. Kesakitan ini disertai dengan muntah. Gejala sawa berlaku kepada 15 hingga 95 peratus penghidap ketumbuhan jenis ini.
8-Gejala lain yang boleh berlaku termasuk:
- Berasa tidak sihat
- Kabur penglihatan
- Pening
- Perubahan pada personaliti, ingatan atau tahap kesihatan mental
- Lemah separuh badan
- Kebas separuh badan
- Gangguan pada pertuturan atau pendengaran
- Gangguan pada deria bau atau rasa
- Gangguan keseimbangan semasa berdiri mahu pun berjalan
Sumber: Haqiem Stopa, Aizat Abdul Razak, Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih, MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi