ORANG kata, kuih tradisional akok hanya laris dan banyak tempahan pada bulan Ramadan sahaja.
Boleh dikatakan satu kerja gila kalau dijual di luar musimnya kerana pembeli tak pandang pun.
Namun, bagi Rohani Mohd Zain, beliau cuba buktikan bahawa makanan warisan negeri Cik Siti Wan Kembang itu masih diminati ramai walaupun bukan bulan puasa.
Ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini, ahli perniagaan yang berusia 57 tahun tersebut berkata, percubaannya menjadi apabila 30 biji kuih yang diletakkan di stesen minyak dan kedai makan habis terjual.
"Masa itu saya gembira sangat bila kuih licin dibeli pelanggan. Harganya pun saya jual sebiji 30 sen saja. Dapat duit RM35 sehari sudah syukur.
"Bila lihat ada sambutan, saya pun sedikit demi sedikit tambah jumlah kuih dan akhirnya boleh jual lebih kurang 300 biji sehari," ceritanya penuh ceria.
Kata Rohani, itu kisah 30 tahun dulu sebelum kuih akok yang dijenamakan semula dengan nama Akok Belahat sejak tahun 2016.
"Sambutan cukup menggalakkan dan siapa sangka, kuih ini sudah terbang ke Sabah dan Sarawak.
"Memang ada permintaan untuk dikomersialkan ke China, namun tak lepas bahagian pembungkusan. Jadi ditangguhkan dulu," katanya yang kini sudah menjual sebiji kuih itu pada harga 70 sen.
Setakat ini, bisnes tersebut pernah merekodkan keuntungan 6,000 biji iaitu RM4,200 sehari pada bulan puasa, manakala jualan hari biasa mencecah 2,000 biji (RM1,400).
Kerja keras
Bagi mana-mana peniaga pun, tidak terlepas berdepan dengan cabaran yang boleh melumpuhkan industri kecil dan sederhana (IKS) sekelip mata.
Itu yang dihadapi oleh ibu enam anak itu. Pun demikian, ujar beliau, setiap ujian dihadapi dengan penuh reda demi mencari sesuap nasi untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga.
"Sebelum ini saya hanya seorang suri rumah. Apabila suami mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan memulakan hidup baharu, saya sokong keputusannya.
"Cuma, mahu membesarkan enam anak dengan pendapatan suami sebagai buruh kampung membuatkan hidup kami agak 'sempit'," ujarnya berterus-terang.
Justeru, kepakaran memasak yang ada dipraktikkan sepenuhnya dan resipi warisan ibu saudara menjadi asas untuk membuat kuih akok tersebut.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan, kaedah pembikinan yang masih menggunakan acuan tembaga tradisional dengan kayu arang daripada pokok getah dan buah-buahan tempatan membuatkan rasa air tangan wanita berkenaan lebih enak.
"Saya memang guna resipi asli dengan lima bahan saja iaitu gula melaka, tepung gandum, santan, telur dan gula pasir.
"Cara kami mungkin sama dengan orang lain, cuma kami lebih dengan kasih sayang," katanya yang turut menjual kuih lain seperti bingka kelapa dan piana.
Kata Rohani, bukan senang mahu senang.
"Saya pernah sampai menangis kerana penat sangat, tapi tak boleh berhenti sebab banyak tempahan. Semuanya dibuat seorang diri sebab anak-anak masih kecil dan suami bekerja.
"Saya hanya berhenti rehat untuk solat Maghrib dan Isyak saja dan sambung buat kuih sampai ke Subuh," katanya.
Kini, pemilik Akok Belahat tersenyum sudah mampu tersenyum puas apabila perniagaan kini semakin dikenali ramai.
Malah, premis yang terletak di Kampung Belahat, Jeli kini menjadi destinasi ekopelancongan IKS buat para pelancong lokal dan luar negara.
Baca juga Bermula kuih cara, anak FELDA kini usahawan berjaya
Kegigihan Rohani menjadi contoh usahawan tempatan apabila modal jualan dikembangkan untuk projek lain seperti perusahaan burung walit, ternakan lembu, servis cuci kereta dan kereta sewa.
Pesan Rohani, kalau mahu jadi usahawan, jiwa kena besar untuk berubah.
"Kalau ikutkan saya dulu pun takut, tapi berani cabar diri sendiri untuk bina masa depan baharu supaya anak-anak hidup senang.
"Alhamdulillah, dengan usaha tanpa putus dengan niat yang baik akan membuahkan hasil. Ibu-ibu di luar sana juga boleh berjaya," nasihatnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!