TABIAT yang tidak boleh dihentikan seperti mengunyah ais mungkin kelihatan tidak berbahaya.
Begitupun, tidak boleh dinafikan, ramai yang melakukannya kerana ingin berasa lebih segar dan membantu mengelakkan mulut kering.
Namun demikian, sebaiknya tabiat itu tidak diteruskan selepas ini.
Merujuk pengamal perubatan yang juga Penasihat Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad di Facebooknya, sebenarnya, tanpa korang sedar tabiat itu mungkin menyebabkan masalah kesihatan tertentu.
Terdapat beberapa faktor korang rasa ingin menguyah ais iaitu:
1. Pagophagia
Pagophagia adalah istilah untuk seseorang yang sentiasa inginkan ais. Keinginan boleh berterusan dan sering berlangsung selama lebih dari sebulan.
Pagophagia adalah gangguan makan jarang berlaku yang dikenali sebagai 'pica'.
Pica pula adalah satu terma perubatan yang membuatkan rasa ingin mengunyah atau makan sesuatu yang tiada nilai nutrisi seperti ais, kapur, kertas, pasir, batu dan sebagainya.
Walaupun kanak-kanak pada umumnya lebih cenderung untuk menghidap nafsu pica, pagophagia boleh menjejaskan orang dewasa dan kanak-kanak.
2. Kekurangan zat besi (Anemia)
Beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil cukup zat besi ( antara 8 ke 18 miligram zat besi sehari jarang mengalami pagophagia.
Orang yang kekurangan zat besi didapati mengalami keradangan lidah dan ais dapat mengurangkan keradangan itu.
Kajian juga menunjukkan bahawa apabila kekurangan zat besi dirawat, ketagihan ais juga akan pulih.
3. Masalah emosi
Beberapa isu emosi juga boleh mendorong kepada tabiat mengunyah ais.
4. Dehidrasi
Dehidrasi ringan juga boleh menyebabkan rasa mengidamkan ais. Kiub ais sejuk boleh melembapkan mulut dan bibir kering selain menghilangkan rasa dahaga.
Ia juga boleh membantu menurunkan suhu badan pada hari yang panas. Simptom dehidrasi ringan adalah dahaga dan air kecil berwarna gelap.
Sesiapa yang mengalami simptom dehidrasi yang lebih teruk seperti kejang atau rasa pening perlu mendapatkan rawatan segera.
Jadi, kena tahu ini kesan sampingan pogaphagia jika korang masih rasa nak kunyah ais tu…
Mengunyah dan menghisap ais tidak mempunyai apa-apa kesan negatif ke atas organ-organ badan ataupun menyebabkan apa-apa jenis penyakit serius.
Bagaimanapun, apabila ia menjadi tabiat dan obsesi tentu ada masalah sampingan yang boleh dialami.
Berikut empat kesan sampingannya:
1. Mengunyah dan menghisap ais secara berpanjangan boleh memberi tekanan kepada gigi dan gusi korang.
Ia boleh menipiskan lapisan enamel dan juga menyebabkan gigi berlubang dan pecah.
Korang boleh mengalami masalah gigi tau...
Bukan itu sahaja, apabila melakukan rawatan gigi seperti fillings dan crowns, ais yang dikunyah boleh menjejaskan rawatan tersebut kerana bahagian kiub ais yang tajam juga boleh mencederakan mulut, gusi dan lidah.
2. Berisiko tersedak kiub ais masuk ke dalam paru-paru (choking)
3. Salah satu sebab seseorang itu ketagih kiub ais adalah supaya ia dapat mengurangkan pengambilan makanan. Keadaan itu jika berlaku dalam masa yang panjang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan ataupun malnutrisi.
4. Tabiat mengunyah dan menghisap ais yang kerap dan dilakukan di tempat-tempat awam ini dianggap sebagai tabiat buruk. Mengunyah ais akan mengeluarkan bunyi yang mengganggu orang sekeliling dan orang lain akan menganggap ia satu tabiat yang pelik.
Bagaimanapun, mengambil air ais dalam kuantiti yang sederhana tidak memudaratkan badan.