Botakkan rambut isteri lalu dikucupnya, tindakan suami cukur kepala sendiri undang sebak ramai
BARU-BARU ini viral sebuah video memaparkan seorang suami bertindak membotakkan kepalanya selepas mencukur rambut isteri dalam linangan air mata.
Dengan kapsyen bertulis 'cancer fighter' pada video tersebut sekali gus mengundang sebak ramai yang melihatnya.
Rupanya tindakan suami itu sebagai memberi sokongan kepada si isteri yang terpaksa mencukur rambut selepas menjalani kemoterapi kali pertama.
Video yang dikongsi di akaun Tik Tok suaminya, Erol Azis telah ditonton lebih 2.1 juta orang.
Memetik portal Mingguan Wanita yang menghubungi lelaki itu, Erol Asiz atau nama sebenarnya Mohd Fairul Mohd Asiz berkongsi kisah mengenai video isterinya yang tular. Dalam perbualan itu, isterinya tidak bersama kerana sedang melakukan kemoterapi.
Bicara Erol, hari ini (semalam) isterinya menjalani kemoterapi buat kali kedua dan dirinya dalam perjalanan menuju ke Institut Kanser Nasional bagi mengambil isteri kesayanganya iaitu Norhaliza Yahya, 47 tahun.
Ujar Erol sekitar awal tahun ini isterinya ada mengadu sakit perut dan terasa ada benjolan di bahagian tepi perut.
"Makin lama benjolan makin besar. Sebesar penutup botol. Masa kami ke klinik, doktor buat surat rujukan pergi ke pakar. Tapi lebih kurang 10 hari sebelum temu janji itu, benjolan itu pecah.
"Saya bawa isteri ke Columbia Hospital dan isteri segera jalani pembedahan. Selepas dua minggu, pihak hospital menelefon memaklumkan sampel yang diambil menunjukkan simptom kanser.
"Isteri sangat terperanjat mendengar hal ini. Ia satu ujian buat kami kerana tiada ahli keluarganya didiagnos kanser. Doktor kemudian merujuk kes isteri ke IKN dan dari sini, baru tahu isteri menghidap kanser ovari tahap satu menuju ke stage 2. Isteri kemudian diberi pilihan sama ada buang rahim atau menjalani kemoterapi.
"Tapi disebabkan mendengar kimoterapi sakit dan lain-lain masalah, isteri mengambil keputusan membuang rahimnya dengan harapan kanser ini menghilang,”kata Erol ketika dihubungi.
Tambah bapa kepada 7 anak berusia tujuh hingga 17 tahun itu (dari hasil perkahwinannya dan isteri sebelum ini), Erol memaklumkan walau rahim sudah dibuang tetapi semasa pembedahan itu, doktor berjaya mengesan satu lagi ketumbuhan di dinding usus yang tidak boleh dibuang begitu saja sebaliknya perlu makan ubat untuk mengecutkannya.
"Ambil masa juga, sekitar 4-5 bulan tapi malangnya isteri terus rasa sakit. Bila dirujuk ke hospital, katanya perlu jalani kemoterapi untuk mematikan ketumbuhan tersebut," jelasnya yang berniaga pakaian terpakai.
Baca juga Viral suami isteri berbangsa Cina bersih kubur & batu nisan, rupanya ini cerita sebenar
[caption id="attachment_126004" width="800"] Kredit foto: Mingguan Wanita[/caption]
Dalam pada itu, Erol turut menceritakan sebelum ini rambut isterinya panjang melebat hingga hampir mencecah punggung.
"Tapi kali pertama buat kemoterapi rambutnya gugur dengan sangat banyak hingga nampak kulit kepala. Isteri kerap menangis dan kemurungan tentang ini selain kesakitan dilaluinya semasa kimo.
"Akhirnya isteri nekad untuk membotakkan rambutnya. Saya kata boleh dan saya siap berpesan, janji tak nangis lepas cukur. Tapi air matanya tumpah bila tengok rambutnya sudah tiada. Saya pula memang tak boleh tengok isteri menangis. Rasa nak bersama-sama menangis. Akhirnya saya ambil keputusan mencukur rambut bagi memberi sokongan kepada isteri," katanya.
Bicaranya lagi, tidak dinafikan, sejak menghidap kanser, isterinya kerap merajuk, sensitif dan mudah marah.
Baca juga Tanda kasih buat isteri, suami prihatin hadiahkan caruman SKSSR, 7 info wanita perlu tahu
"Ada kalanya sampai tak bercakap tapi saya faham apa dirasai isteri. Kadang bila dirinya mulai marah, saya ajak jalan keluar makan-makan angin. Sayang kepadanya melebih apa yang isteri rasanya. Benarlah kata orang, bila isteri sakit, suami perlu mainkan peranan penting dalam memberi sokongan.
"Sebab itulah saya cukur kepala agar kami dapat merasai 'kesakitan' ini," katanya yang memaklumkan anak-anak belum memahami sepenuhnya ujian dihadapi ibu mereka kerana selepas video itu tular, mereka bertanya kenapa ayah dan ibu menangis.
Jelas peniaga ini lagi, apa yang membuatkan dirinya berasa bangga bila mana ramai pejuang-pejuang kanser yang menghubungi isterinya memberikan kata-kata semangat untuk melawan penyakit ini dan isteri juga menerimanya dengan positif untuk melawan kanser ini.
Moga mereka yang diuji dengan kanser cepat sembuh dan kembali sihat seperti sebelumnya, amin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!