Mula dengan modal RM500, SalaiPort kini ada cawangan seluruh negara. Bakal tembusi Brunei, Singapura

Iklan
bisnes salaiport

PADA mulanya, Liyana Zamri memulakan bisnes masak lemak cili padi dengan menggunakan modal RM500.

Berkat kesungguhannya, akhirnya air tangan usahawan berusia 39 tahun itu sedikit demi sedikit berjaya memikat selera pelanggan yang ketika itu rata-ratanya hanya dalam kalangan jiran dan rakan sejawat.

Iklan
Iklan

Meskipun sibuk dengan tugas hakiki sebagai seorang eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat, namun jiwa berniaganya terlalu kuat.

Mana tidaknya, anak jati Rembau itu secara sambilan ligat memenuhi tempahan lauk-pauk untuk majlis korporat dan penghantaran makanan terus ke pintu.

Iklan

Untuk stok daging salai, beliau sanggup berulang-alik pada setiap hujung minggu untuk mendapatkan bekalan di kampung halamannya yang terletak di Pekan Pedas.

Iklan

Kepada SinarPlus, Liyana memberitahu, tempahan yang menggalakkan mendorong beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2015.

"Meskipun sudah berkhidmat selama lima tahun, namun jiwa saya lebih kepada dunia masakan. Mungkin kerana saya sudah didedahkan dari kecil dengan famili yang memiliki bisnes katering.

 

"Jadi, saya nekad untuk berhenti dan fokus kepada jualan makanan. Alhamdulillah, rezeki memang tak pernah salah alamat. Tempahan untuk set makanan sarapan pagi dan tengah hari amat menggalakkan," ceritanya.

Baca juga Kukuhkan jenama sebagai kosmetik halal, Nurraysa sasar bantu 135,000 usahawan jana pendapatan

Tidak hanya menerima tempahan korporat, Liyana bersama suami tersayang, Mohd Khairul Samat, 38, juga mencuba nasib dengan membuka warung tepi jalan.

Antara menu yang menjadi pilihan ramai seperti ayam masak lemak cili padi, itik salai masak lemak cili padi, daging salai masak lemak cili padi, keli salai masak lemak cili padi, rendang pucuk ubi, wajik biasa dan wajik durian.

Cabaran

Pun demikian, tuntutan kerja suami yang perlu berpindah ke Johor pada tahun 2017 membuatkan Liyana terpaksa mengubah strategi jualan.

"Tak dinafikan, untuk survive di tempat baharu memang susah. Apatah lagi, mereka ingatkan produk ini bukannya original daripada Negeri Sembilan kerana berpangkalan di Johor.

"Susah nak dapatkan kepercayaan pelanggan dan masa itu juga, kami berdepan kekangan modal. Memang rasa nak putus asa tapi saya tetapkan kuatkan semangat," ceritanya.

Bukan setakat itu, berdepan isu pelanggan menerima stok daging busuk sedikit sebanyak mencalar kredibiliti dan imej SalaiPort.

"Demi memulihkan semula nama, saya berusaha untuk mendapatkan semula kepercayaan pelanggan dengan pemulangan semula wang atau penghantaran baharu," katanya.

Bina empayar

Cerita Liyana, selepas berpindah semula ke Pekan Pedas pada tahun 2018, beliau kembali bersemangat selepas menerima permintaan daripada pelanggan lama yang mahu mendapatkan stok daging salai masak lemak cili padi.

"Sebenarnya lauk tersebut antara menu laku keras semasa berjualan di warung tepi jalan. Tidak mahu mengecewakan pelanggan, kami cuba cara terbaik untuk mengepos barang yang lebih tahan lama.

Baca juga 85 peratus bergelar usahawan wanita suri bisnes, Eskayvie kini lebar sayap ke Indonesia

"Kami menggunakan teknologi pembungkusan vakum dan bermula daripada itulah, kami mula mengeluarkan makanan sejuk beku untuk lauk signatur," kata pemilik jenama SalaiPort tersebut.

Melihat potensi SalaiPort mampu berkembang lebih jauh, anak ketiga daripada lima beradik itu cuba mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan.

Antara pihak yang membantu menyalurkan geran dan bantuan perniagaan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), kerajaan Negeri Sembilan dan ramai lagi.

"Untuk bantuan Risda, saya dapat membeli mesin pemotong daging dan perkakas lain. Berbekalkan dana Mardi dan kerajaan negeri, dapatlah saya membuka bengkel untuk proses pengilangan.

Baca juga Sanggup tak tidur malam siapkan tempahan akok, kegigihan wanita ini buka mata ramai orang

"Kalau dulu, saya hanya mampu menerima tempahan sebanyak 100 bungkusan sahaja untuk sebulan kerana semua proses dijalankan secara konvensional, namun kini kilang mini kami mampu menampung 8,000 tempahan sebulan," katanya penuh semangat.

Berbual mengenai keunikan produk SalaiPort, Liyana percaya kaedah pembikinan daging salai secara tradisional mampu mengekalkan rasa tersendiri.

"Kami menggunakan 100 peratus kayu api daripada dahan pokok buah-buahan khususnya rambutan kerana aromanya lebih wangi dan manis.

"Lagi satu, kami juga menginovasi rumah salai sendiri untuk proses salai lebih cepat. Setiap sesi, sebanyak 160 kilogram daging boleh disalai dalam satu masa," ungkapnya.

PERLUAS PASARAN

Untuk merancakkan lagi jualan, Liyana juga membuka peluang kepada ejen yang berminat selain menembusi pasaran tempatan melalui kedai halal di seluruh negara.

"Setakat ini, saya sudah memiliki 30 ejen dan produk SalaiPort boleh didapati di lebih 20 kedai halal di Lembah Klang, Johor dan Negeri Sembilan.

"Sekarang ini, saya sedang berusaha untuk tembus pasaran Brunei dan Singapura untuk produk daging dan itik salai," kata ibu empat cahaya mata tersebut.

Sebelum menutup perbualan, Liyana turut menitipkan kata-kata motivasi kepada para wanita di luar sana.

"Jangan sesekali patah semangat dan banyak bersabar. Tak kiralah wanita mahupun lelaki, kita perlu berani mencuba dan keluar daripada zon selesa.

"Selain itu, kita perlu ada perancangan bisnes untuk tempoh lima tahun supaya bisnes mampu berkembang lebih jauh. Percayalah, banyak agensi kerajaan yang bersedia untuk membantu kita sebagai usahawan kecil dan paling penting kena rajin," nasihatnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang