Bahaya detak jantung berdegup laju, jantung boleh berhenti mendadak, picu strok & ganggu emosi

Iklan
JANTUNG BERDEGUP LAJU 1

Bahaya detak jantung berdegup laju, jantung boleh berhenti mendadak, picu strok & ganggu emosi

PADA saat Adira Mohd, 42, sedang khusyuk menaip menyiapkan kerja, jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.

Iklan
Iklan

Melepaskan papan kunci dan cuba tenang seketika, namun tiada perubahan. Beliau dengan perlahan berjalan ke tandas untuk menyembunyikan raut wajah cemas.

Kira-kira 10 minit selepas itu barulah ritma degupan kembali normal.

Iklan

Adira mula mendiagnosis sendiri. Berawal, dirinya menelah santan daripada kuah lodeh yang dimakan bersama nasi impit menjadi punca masalah.

"Selepas kejadian itu, saya langsung tak menjamah kuah berkenaan," ujarnya.

Iklan

Namun demikian, selang enam bulan kemudian, kejadian sama berulang. Keadaannya lebih dahsyat lagi sehinggakan suami beliau menggesa wanita itu ke klinik lantaran momentum detak jantung tidak kembali kepada keadaan asal selepas setengah jam.

Bacaan tekanan darah jatuh mendadak. Apabila ujian elektrokardiogram (ECG) dijalankan, ia mencecah 200 denyutan seminit (bpm).

Menurut American Heart Association (AHA), nilai bacaan lebih daripada 180bpm dianggap berbahaya lebih-lebih lagi jika disertai dengan gejala lain seperti pusing atau sesak nafas.

Disebabkan pihak klinik tidak dapat merawati, Adira dikejarkan ke hospital.

Pakar mengesahkan beliau berdepan dengan masalah Supraventricular Tachycardia (SVT).

Untuk pemahaman yang lebih jelas, SinarPlus membantunya dengan mendapatkan penjelasan Pakar Perunding Kardiologi, Pantai Hospital Klang, Dr Suhaimi Osman.

Menurut Dr Suhaimi, SVT yang juga dikenali sebagai Supraventricular Tachycardia Paroxysmal ditakrifkan sebagai degupan jantung yang luar biasa laju.

"SVT adalah istilah luas yang merangkumi pelbagai bentuk masalah irama jantung (aritmia jantung) yang berasal daripada ventrikel (supraventrikular) pada atria atau nod AV. Kadar denyutan jantung normal adalah 60 hingga 100bpm. Lebih daripada 100bpm, ia dikategorikan sebagai SVT," katanya.

 

Banyak penyebab

Mengulas lanjut, Dr Suhaimi berkata, SVT terbahagi kepada beberapa kategori seperti Atrioventricular Nodal Reentrant Tachycardia, Atrioventricular Reentrant Tachycardia, Atrial Tachycardia, Atrial Flutter dan Atrial Fibrillation.

Daripada senarai itu, Atrial Fibrillation dianggap sebagai SVT paling kronik.

"Pun demikian, setiap individu mungkin memiliki tingkat keparahan yang berbeza-beza," ujarnya.

Persoalannya, apa yang memicu seseorang mendapat penyakit berkenaan?

Menurut pakar itu, ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk adanya sejarah penyakit jantung, masalah tiroid, gangguan elektrolit atau faktor keturunan. Selain itu, terdapat sebab-sebab lain.

Sesetengah jenis SVT lebih kerap berlaku pada orang yang berumur pertengahan atau lebih tua.

Memiliki penyakit arteri koronari, masalah jantung lain dan pembedahan jantung terdahulu.

Arteri jantung yang menyempit, serangan jantung, injap jantung tidak normal, pembedahan jantung sebelumnya, kegagalan jantung, kardiomiopati dan kerosakan jantung lain yang secara tidak langsung meningkatkan risiko mengalami SVT.

Mereka yang mempunyai penyakit jantung kongenital yang mana kecacatan jantung boleh menjejaskan irama jantung.

Mempunyai kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau kurang aktif boleh meningkatkan risiko SVT.

Ubat seperti batuk dan selesema termasuk makanan tambahan atau ubat preskripsi tertentu boleh menyebabkan episod SVT.

Kebimbangan, tekanan emosi dan keletihan fizikal.

Risiko seseorang mendapat penyakit arteri koronari dan tekanan darah tinggi meningkat jika diabetes tidak terkawal.

Apnea tidur obstruktif iaitu pernafasan terganggu semasa tidur berupaya meningkatkan risiko SVT.

Nikotin dan dadah seperti amphetamine dan kokain boleh menjejaskan jantung dengan teruk, sekali gus mencetuskan SVT.

Di samping itu, ujar Dr Suhaimi, obesiti dan stres yang berlebihan juga mempengaruhi. Pun begitu, ia perlu dinilai secara individu.

Kepada satu soalan, pakar berkenaan memberitahu, penyakit tersebut boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk bayi, kanak-kanak dan ibu hamil.

"Pesakit muda biasanya mengalami jenis SVT yang berbeza daripada pesakit yang lebih tua," jelasnya.

BACA JUGA: Jantung tersumbat, Dr Malar terang bagaimana prosedur angiogram dan angioplasty dilakukan

Kekerapan

Menyentuh mengenai gejala SVT, Dr Suhaimi berkata, ia boleh datang dan pergi secara tiba-tiba dengan julat kadar denyutan normal di antaranya.

Simptom boleh berlangsung selama beberapa minit hingga beberapa hari. Sesetengah orang tidak mempunyai gejala sama sekali.

"SVT akan menjadi masalah apabila ia berlaku dengan kerap, terutamanya jika seseorang mengalami kerosakan jantung atau isu perubatan lain," ujarnya.

Secara spesifiknya, petanda SVT adalah merujuk kepada degupan jantung yang cepat, berdebar-debar pada dada, sukar untuk bernafas, sakit kepala (pening berpeluh), rasa berdebar-debar pada leher, pengsan atau hampir pengsan.

"Untuk bayi dan kanak-kanak yang masih kecil, petandanya mungkin sukar dikenal pasti," katanya.

Persoalan seberapa kerap seseorang pesakit boleh terkena serangan turut dijawab Dr Suhaimi.

Jelas beliau, sama ada ia berterusan atau selalu berlaku adalah berbeza-beza bagi setiap individu.

Itu sebab pengurusan dan rawatan yang sesuai boleh membantu mengurangkan kekerapan dan keparahan episod SVT, ujar pakar itu.

"Mengenai bahaya SVT pula, apa yang saya boleh katakan, ia bergantung kepada faktor seperti frekuensi dan durasi episod serta kondisi kesihatan individu.

Penting untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan untuk penilaian yang tepat," terangnya.

Bercakap tentang implikasi, Dr Suhaimi memberi penjelasan. Ungkapnya, selain pembentukan gumpalan darah dan ia boleh mengakibatkan masalah jantung.

Menurut Mayo Clinic, jika SVT berterusan untuk tempoh masa lama dan tidak dirawat, jantung mungkin tidak dapat mengepam darah dengan betul, sekali gus membuatkan jantung menjadi lemah dan tidak berfungsi dengan baik.

Berlaku juga gangguan pada aliran darah. Mudah kata, seandainya organ penting itu berdegup terlalu laju dan tidak efisien, badan mungkin tidak mendapat darah yang cukup.

"Jadi, organ-organ kita tak dapat oksigen dan nutrien yang diperlukan," jelasnya.

Bagaimana pula dengan strok? Ujar Mayo Clinic lagi, walau risikonya lebih rendah berbanding Atrial Fibrillation, tetapi SVT yang berterusan juga boleh meningkatkan risiko pembentukan gumpalan darah.

"Kalau gumpalan ini terlepas dan pergi ke otak, ia boleh menyebabkan strok," kata laman perubatan itu.

Seperkara yang sukar untuk dinafikan, individu dengan SVT kadang-kadang menjadi lebih cemas atau stres lantaran gementar jika SVT berulang sekali lagi. Sudah pasti, ia memberi impak kepada kesihatan mental pesakit.

"Sememangnya SVT akan sebabkan pesakit rasa gelisah dan risau. Bukan setakat itu, denyutan jantung yang tak teratur boleh membuatkan mereka stres," kata Mayo Clinic.

BACA JUGA: Sharifah Shawati dedah jantung di sebelah kanan atau dekstrokardia, hanya tahu semasa daftar kerja pramugari

Ancaman besar?

Antara persoalan yang kerap ditanya, adakah SVT akan mengancam nyawa seseorang?

Jawab Dr Suhaimi, ia boleh terjadi jika tidak dirawat dengan betul terutama mereka yang memiliki komplikasi yang tinggi.

Senada dengan pakar itu ialah AHA. Kata sumber itu, seandainya dibiarkan, dalam jangka masa panjang, ia boleh mendorong jantung pesakit menjadi lemah dan tidak boleh mengepam darah dengan betul.

Pakar tempatan tersebut juga diajak berbincang tentang pengubatan khusus SVT. Beritahunya, selain ubat-ubatan, pakar akan menggunakan teknik ablatio kateter (memasukkan satu kateter kecil melalui pembuluh darah dan menghala ke jantung) dan kadang-kadang melibatkan pembedahan.

"Prosedur itu (pembedahan) boleh dipertimbangkan jika ubat dan ablatio kateter tidak berkesan atau tidak sesuai," katanya.

Namun, kata AHA, biasanya dengan melakukan ablatio kateter, kadar kejayaan adalah dalam lingkungan 90 peratus ke atas.

"Apa pun ia masih tetap bergantung pada jenis SVT dan kemahiran doktor," kata sumber itu.

Dr Suhaimi menambah, pendekatan paling efektif untuk mencegah SVT adalah mengelak hal-hal yang memicu penyakit itu seperti menghindari alkohol, menguruskan tekanan dengan baik dan mematuhi pemakanan yang sihat.

British Heart Foundation juga memiliki pandangan sama. Kata mereka, tekanan atau stres adalah sebab utama terjadinya SVT.

"Pada masa sama, pesakit perlu elak minum minuman keras dan beberapa jenis ubat yang boleh beri kesan pada masalah kesihatan ini," ujar penulisan berkenaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!