PAUNG goreng Terengganu atau kuih bom inti ikan antara makanan unik jarang ditemui bukan?
Bunyi namanya pun macam best, pasti rasanya juga sedap.
Resipi kuih ini yang dikongsikan Nihadriz Niha di cookpad.com/, semalam bolehlah dicuba ya.
Kata Nihadriz, resipi tradisi Terengganu dihasilkannya itu semestinya bebas gluten!
"Biasanya dijual di pasar pagi sebagai sarapan. Kenyal dan rangup," katanya. Berikut resipi yang dikongsikan:
Paung Goreng Terengganu (Kuih Bom Inti Ikan)
Ramuan
20-30 biji
Inti:
5-6 ekor ikan selayang (sardin) direbus dengan asam keping dan garam
2 cawan santan segar*
5 ulas bawang merah*
1/2 inci halia dihiris halus*
Secubit lada hitam
1/2 sudu kecil halba
1 sudu kecil garam Himalaya atau secukup rasa
1 sudu kecil gula tebu asli organik (organic raw cane sugar) atau secukup rasa
Kulit:
2 1/2 cawan tepung pulut
1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 sudu kecil Garam Himalaya
Minyak untuk menggoreng (deep fry)
Artikel berkaitan: Kuih bakar ‘lejen’, sedap dan mudah
Langkah:
1. Ikan yang telah direbus, dibuang tulang.
2. Kisar isi ikan tadi dengan semua bahan bertanda*
3. Tuang bahan kisar tadi dalam bread maker dan masukkan bahan-bahan lain. Pilih mod"Jam" dan ulang mod sehingga agak kering.
4. Sekiranya tiada bread maker, masak menggunakan api kecil sehingga inti agak kering (biarkan sedikit lembap) dan ketepikan.
5. Gaulkan semua bahan sehingga menjadi doh. Rehatkan doh 1-2 jam pada suhu bilik. Pastikan bekas ditutup untuk mengelakkan doh mengering.
6. Ambil sedikit doh, lebih kurang sebesar bola golf, leperkan, masukkan inti dan tutup. Ulang sehingga doh habis.
7. Panaskan minyak dalam kuali, pastikan minyak tidak terlampau panas supaya kuih tidak meletup apabila digoreng.
Goreng paung tadi sehingga keperangan. Sedia dihidang panas-panas.
Sekiranya hendak dibekukan, goreng separuh masak dan simpan dalam bekas kedap udara.
Selamat mencuba!