KINI Lebih ramai pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memahami sebab kenaikan bil elektrik di kediaman mereka selepas mendapatkan penjelasan mengenai perkiraan dan pelarasan bil sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Berdasarkan tinjauan dan laporan portal media tempatan di Kedai Tenaga hari ini, kebanyakan pelanggan yang hadir untuk bertanya isu berkenaan kelihatan berpuas hati dengan keterangan diberikan pegawai bertugas, malah, Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang disediakan TNB turut menerima reaksi positif.
Seperti apa yang berlaku terhadap seorang pesara, Mary Anthony, 68, mengakui agak terkejut dengan jumlah bil yang perlu dibayar pada bulan ini, namun, beliau tetap membuat bayaran selepas pegawai menjelaskan bahawa jumlah itu merangkumi tiga bulan kos penggunaan elektrik sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu.
"Kebiasaannya, bil elektrik di rumah saya sebelum PKP kurang daripada RM80 tetapi selepas diberi penjelasan, saya sedar bahawa penggunaan elektrik di rumah bagi tiga bulan lalu melebihi RM100 sebab sentiasa berada di rumah.
"Saya faham dengan situasi ini, maka, semua penjelasan pihak TNB saya terima sewajarnya dan saya sudah membayar bil elektrik kediaman saya sepenuhnya kerana caj bil yang dikenakan tidaklah begitu tinggi," katanya.
Seperti apa yang korang sendiri sedia maklum, isu pelarasan bil elektrik telah mengundang kritikan orang ramai apabila ada pengguna yang mendakwa berlaku kenaikan mendadak dalam bil bulanannya yang mencecah 600 peratus sehingga tular di media sosial seperti apa yang dilaporkan berlaku pada 10 Jun lalu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan pada keesokan harinya, Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan pengguna terbabit hanya salah faham mengenai perkiraan bil akaunnya yang dibuat secara prorata.
Jadi korang rileks, TNB dah usahakan perbagai perkara untuk meringankan beban termasuk dengan adanya Pelan Bayaran Mudah (PBM).
PBM yang diperkenalkan TNB baru-baru ini adalah salah satu pakej bantuan yang merupakan langkah yang tepat dan bijak diambil oleh TNB.
Pakej PBM juga dilihat dapat mengurangkan beban kewangan iaitu bayaran bil boleh dibuat secara beransur-ansur.
Melalui PBM, TNB juga menawarkan penangguhan surcaj lewat bayar dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman dalam usahanya untuk membantu mengurangkan impak pandemik Covid-19 terhadap pengguna.
Untuk pengetahuan, PBM dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama yang diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei lalu selepas menangguhkan sementara pembacaan meter fizikal dan penyerahan bil di premis pengguna semasa PKP.
Untuk maklumat lanjut, bagi yang terkesan dengan pelarasan bil semasa PKP disarankan menghubungi TNB CareLine di talian 1300 88 5454 atau akaun rasmi Facebook TNB CareLine atau mengunjungi Kedai Tenaga berhampiran.