Anugerah Tokoh Akademik pencapaian terbaik Ilham Ayash, sindrom nefrotik bukan penghalang

Iklan

ADIK Ilham Ayash Mohd Hazri membuktikan meskipun menghidapi penyakit sindrom nefrotik atau kebocoran buah pinggang bukan menghalang untuk meraih kecemerlangan dalam pendidikan.

Pelajar tahun enam itu dinobatkan sebagai penerima Tokoh Akademik sempena Majlis Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kerling yang diadakan di Karangkraf baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, gembira dan bersyukur ketika dimaklumkan cikgu saya bakal mendapat anugerah Tokoh Akademik.

"Inilah pencapaian yang saya dapat selepas bertungkus-lumus berusaha sehabis baik untuk peperiksaan,” katanya ketika ditemu bual SinarPlus.

Iklan

Ilham Ayash yang didiagnos menghidap penyakit itu sejak berusia lima tahun turut aktif dalam kokurikulum.

Iklan

Bahkan beliau antara murid yang aktif dalam pasukan bola sepak sekolah sehingga terpilih untuk mewakili sekolah ketika berada di Tahun Lima dan Enam.

"Selalunya lepas balik sekolah, saya akan main bola dulu dan akan mengulangkaji pelajaran pada sebelah malam.

"Setakat ini semua baik sahaja sebab sakit dalaman. Cuma perubahan ketara dapat dilihat dekat badan saya contohnya makin berisi dan kurang tinggi berbanding kawan-kawan lain,” ujarnya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Hazri Abdul Samad berkata, anugerah yang diberikan kepada anaknya itu setimpal dengan usaha yang dilakukan selama ini.

"Alhamdulillah, Ilham Ayash anak yang disiplin bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

"Contohnya patuh dengan arahan doktor dan sentiasa makan ubat mengikut waktu yang ditetapkan," katanya.

Baca juga:Bangganya! Pandelela dikurnia Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas)

Tambahnya, walaupun ada masa kesihatan Ilham Ayash terganggu dan diberikan cuti, dia tetap mengulang kaji dan membuat latihan yang diberikan cikgu di rumah.

"Anugerah ini sebagai hadiah untuk anak saya selepas bersusah-payah dan sebagai bapa sangat berpuas hati dengan pencapaiannya,” ujarnya.

Bagi ibunya, Lizawati Zainal, dia sentiasa disamping Ilham Ayash memberi sokongan dan berusaha melakukan yang terbaik terutama dalam menyediakan sarapan.

"Sebagai ibu, saya akan cuba pastikan dia sarapan di rumah supaya tidak mudah lesu, penat dan boleh fokus dalam pelajaran.

"Saya juga selalu tekankan akademik dan pelajaran amat penting untuk kehidupan masa depan meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik,” jelasnya.

Baca juga:Inspirasi! Ketika kecil berdiri atas baldi jual air di pasar malam, pesan lelaki cemerlang hargai ibu buat ramai sebak

Ilham Ayash antara 26 murid Tahun Enam SK Kerling yang diraikan dalam Majlis Graduasi di Auditorium, Karangkraf, Selangor.

Majlis itu turut meraikan enam murid penerima anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Nilam yang disandang oleh Nur Amiera Idiena.

Manakala Anugerah Tokoh JQAF disandang oleh Ahmad Faqeh Ahmad Hulaimi dan Anugerah Tokoh Sahsiah diterima oleh Jannati Qaireen Norazimi.

Selain itu, anugerah Tokoh Kokurikulum diberikan kepada Nur Batrisyah Abdullah dan Anugerah Tokoh Murid diberikan kepada Zainal Abidin Hammadi Mohd Hazri.