"ANAK-anak perlu dipantau 24 jam oleh ibu bapa sekiranya mampu terutama dalam penggunaan telefon pintar bagi menggelak perkara negatif.”
Demikian pendapat pelakon terkenal, Rita Rudaini berhubung isu kanak-kanak bawah umur melarikan diri termasuk kes remaja kahwin di luar negara tanpa izin orang tua.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, telefon pintar memang satu keperluan pada masa sekarang, namun jika tidak dikawal boleh membawa pengaruh buruk.
"Sebenarnya, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memantau dan mengawasi anak-anak jika boleh 24 jam.
"Saya selalu cakap perkara ini kepada kawan-kawan tetapi ada sesetengah mereka tidak dapat menerima kerana sibuk.
"Bagi saya nak seribu daya tak nak seribu dalih. Ditambah lagi budak zaman sekarang dengan gajet dan media sosial. Mudah untuk berhubung dan berkenalan dengan orang,” katanya kepada SinarPlus pada Iftar Ramadan Dinner bersama Starvendor.
Justeru katanya, sebagai ibu bapa perlu mengambil tahu tentang perihal anak-anak termasuklah dengan siapa mereka berkawan.
"Jangan benarkan mereka ‘outing’ tanpa orang tua. Jika saya… akan ikut anak-anak, biarlah orang nak cakap anak mak ke apa. Sekiranya mereka ada perancangan dengan kawan-kawan seperti bermandi-manda di Sunway Lagoon, saya akan follow dan lihat dari jauh sambil menjaga barang-barang.
"Nak pergi mana cakap sahaja saya akan book semua, malam pun tak apa saya okay. Asal anak depan mata dan selamat. Saya buat ada sebab kerana nak mengelak mereka terlibat dengan perkara negatif yang kita tak tahu. Anggap anak-anak kita ini baik tapi secara tiba-tiba jadi lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya isu posting di media sosial selalu dikritik segelintir individu termasuk perkongsian sepotong video throwback berkenaan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, katanya, rakaman itu tidak bermaksud apa-apa hanya sekadar untuk menjadikan inspirasi kepada orang lain.
"Saya pun tak faham kadang-kadang kita update pasal anak, dapat feedback daripada orang, ada yang mesej.
"Apa yang kita buat dan didik anak itu kita rasa ia satu inspirasi untuk orang lain. Kalau bagi dia rasa bukan apa-apa tak payah baca dan follow,” katanya.