SECARA global, dianggarkan sejumlah 1,444,720 kes dan 89,900 kematian dicatatkan akibat ensefalitis atau keradangan otak pada 2019.
Menurut Johns Hopkins, penyakit itu menyerang 10 hingga 15 orang bagi setiap 100,000 orang di Amerika Syarikat pada setiap tahun.
Bukan sekadar itu, lebih daripada 250,000 pesakit didiagnosis dengan ensefalitis dalam tempoh dekad lalu.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan penyakit tersebut, SinarPlus telah menemui Pakar Neurologi, Subang Jaya Medical Centre, Dr Yong Fee Mann. Pakar tersebut terlebih dahulu menjelaskan berkenaan peranan otak manusia yang mengawal fungsi keseluruhan tubuh.
Kata Dr Fee Mann, setiap pergerakan atau tindakan dikawal oleh otak dan sekiranya organ itu tidak berfungsi, ia boleh melumpuhkan fungsi badan.
[caption id="attachment_142351" width="300"] Dr Yong Fee Mann[/caption]
"Ensefalitis adalah keadaan serius yang jarang berlaku, menyebabkan keradangan di dalam otak.
"Keradangan pada organ terpenting tersebut boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu akibat jangkitan virus, bakteria atau kulat. Ensefalitis juga boleh tercetus disebabkan penyakit autoimun,” katanya.
Virus nipah yang pernah merebak di negara ini adalah contoh virus yang boleh mengakibatkan jangkitan pada otak.
"Herpes simplex yang menyebabkan mulut mengalami banyak ulser atau herpes zoster iaitu kayap juga antara virus yang mengundang komplikasi sama,” katanya.
Selain Japanese encephalitis dan measles, sesetengah penghidap mengalami keradangan akibat denggi, malaria dan nipah.
Katanya, wabak Covid-19 juga boleh menyebabkan radang otak, namun ia tidak terlalu ketara.
Bukan sekadar itu, protozoa yang merupakan mikroorganisma dalam air sungai juga boleh membawa risiko serupa.
Imuniti badan
Berkenaan dengan keradangan otak yang berlaku akibat autoimun pula, Dr Fee Mann memberitahu, ia terjadi apabila sistem imun badan yang sepatutnya melawan virus telah bertindak menyerang sel atau tisunya sendiri.
Kegagalan membezakan sel atau tisu badan dan menganggapnya sebagai bendasing menyebabkan inflamasi pada otak.
Ujarnya, ensefalitis juga kerap berlaku dalam kalangan golongan muda termasuk bayi dan kanak-kanak, namun, ia juga boleh menjangkiti individu yang lebih tua.
Anak kecil mempunyai imuniti badan yang rendah dan mudah dijangkiti apabila terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat.
Ketika ditanya sama ada punca jangkitan ada kaitan dengan gaya hidup dan masalah mental, pakar itu segera menafikannya.
"Saya tidak fikir gaya hidup mempengaruhi penyakit ini melainkan pesakit berada di lokasi yang terdedah virus dan bakteria.
"Kemurungan, tekanan atau stres juga tidak akan mengundang risiko jangkitan, namun radang otak kadangkala mempunyai simptom seakan masalah mental,” katanya.
Pesakit akan menunjukkan gejala yang berbeza-beza bergantung kepada jenis keradangan yang dialami. Mereka lazimnya menunjukkan tanda seperti sakit kepala, demam atau berubah perangai.
Pakar tersebut turut menggariskan beberapa simptom serius yang boleh dialami pesakit. Antaranya:
- Mengalami masalah pertuturan dan pendengaran.
- Kehilangan deria pada beberapa bahagian badan.
- Lemah otot atau separa lumpuh pada tangan dan kaki.
- Sawan atau kehilangan daya ingatan
Mengulas lanjut, kata Dr Fee Mann, ensefalitis akibat jangkitan biasanya berkembang lebih cepat daripada ensefalitis autoimun.
"Tanda (ensefalitis autoimun) hampir sama dengan jangkitan kuman, namun pesakit kurang mengalami demam.
"Ia juga mengambil masa berminggu-minggu sebelum disahkan mengalami encephalitis,” katanya.
Sementara itu, National Institute of Neurological Disorders and Stroke berkata, ensefalitis boleh berjangkit dan tersebar melalui air liur, cecair hidung dan rembesan pernafasan serta tekak.
"Lazimnya, ia merebak melalui ciuman, batuk atau ketika seseorang berkongsi peralatan makanan seperti pinggan atau cawan.
"Ia turut tersebar melalui perkongsian barangan peribadi seperti berus gigi, gincu atau rokok,” katanya.
Antara tanda gejala penting yang perlu diperhatikan jika ia dialami oleh bayi adalah demam, lesu, tidak mahu bangun menyusu, muntah, kekakuan badan dan mempunyai bonjol di atas kepala.
Tambah Dr Fee Mann, walaupun penyakit itu boleh mengundang maut, namun ramai yang boleh sembuh dengan pengubatan yang diberikan.
Sebagai contoh, beliau memberitahu pernah merawat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun disahkan radang otak akibat penyakit autoimun.
"Kanak-kanak tersebut datang ke hospital akibat sering diserang sawan sawan dan setelah beberapa tahun menjalani rawatan dan terpaksa mengambil ubat, pesakit itu kini dalam keadaan baik dan sudah kembali bersekolah,” katanya.
Rawatan insentif
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai pengesanan dan rawatan penyakit tersebut, penulis turut menghubungi Pegawai Perubatan Klinik Chenang Jitra 24 Jam, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali.
[caption id="attachment_142349" width="427"] Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali[/caption]
Ujar pakar tersebut, melalui pemeriksaan doktor secara klinikal dapat mengenal pasti jangkitan yang dialami.
"Pesakit lazimnya akan disoal berkenaan sejarah kesihatan dan dinilai melalui simptom-simptom yang kelihatan.
"Pemeriksaan fizikal pesakit yang berdepan masalah keradangan otak akan dilakukan melalui pemeriksaan secara pengimejan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI),” katanya.
Ia dilakukan untuk melihat keadaan otak pesakit. Prosedur electroencephalogram pula akan dijalani untuk memeriksa gelombang otak.
"Kaedah lain yang akan dilakukan termasuk pemeriksaan darah, ujian air cerebrospinal (air tulang belakang),” katanya sambil memberitahu sampel akan dihantar untuk dianalisa oleh makmal.
Apakah penyakit ini boleh sembuh dan adakah kemungkinan pesakit dijangkiti semula setelah sembuh? Ini jawapan pegawai kesihatan tersebut.
Sependapat dengan Dr Fee Mann, Dr Mohamad Suaidi berkata, penyakit itu boleh sembuh sepenuhnya bergantung kepada puncanya dan jika dirawat segera.
"Perawatan segera perlu untuk memberi prognosis yang baik kepada pesakit. Pesakit lazimnya perlu dirawat di unit rawatan rapi dengan pemantauan teliti oleh doktor pakar.
"Ia bagi memastikan mereka menerima rawatan insentif yang sebaiknya,” tutur beliau.
Dr Mohamad Suaidi berkata, kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengundang risiko yang lebih besar.
"Pesakit berisiko berdepan kematian atau mereka boleh mendapat komplikasi kesan daripada ensefalitis.
"Walaupun dengan kemajuan perubatan, esefalitis boleh menyebabkan kematian sebanyak 10 peratus dalam kalangan pesakit,” katanya.
Malah, mereka yang terselamat mungkin mendapat komplikasi yang kekal seperti lemah tubuh badan, masalah kekuatan anggota badan, kognitif dan lain-lain.
Justeru, ujar beliau, langkah awal boleh diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan.
"Penjagaan kebersihan dan mencuci tangan boleh membantu mengurangkan penyebaran virus atau kuman yang menyebabkan keradangan serius ini.
"Sesetengah ensefalitis yang disebabkan oleh jangkitan boleh dicegah melalui imunisasi wajib yang diberikan menerusi program imunisasi kebangsaan,” katanya.
Beliau juga menyarankan orang awam supaya melindungi diri daripada nyamuk yang membawa virus denggi dan malaria dengan kaedah semburan racun serangga perosak atau penggunaan kelambu semasa tidur.
Untuk kanak-kanak pula, Dr Mohamad Suaidi menasihati golongan ibu bapa supaya mengambil berat soal imunisasi yang dirancang oleh pusat kesihatan.
"Paling penting, segera dapatkan rawatan jika anak-anak menunjukkan gejala ensefalitis,” tuturnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!