PENDEDAHAN usahawan pencuci mulut, Kieda Crepe tentang kejadian pecah rumah yang dialaminya mengejutkan warganet.
Masakan tidak, bukan sahaja wang tunai RM800,000 lesap, malah barang kemas miliknya turut dilarikan penjenayah.
Kieda atau nama penuhnya Siti Nur Khalieda Yusra Mohd Jais, 27, yang viral dengan ‘dessert’ hanya berkongsikan insiden yang berlaku pada April lalu itu kepada umum selepas 40 hari.
Berikut kronologi kejadian yang menimpa Kieda di kediamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang:
1-Kieda mendedahkan kejadian berkenaan berlaku pada 25 April lalu, antara jam 8 hingga 11 malam.
2-Ia hanya disedari beliau dan suaminya, Mohd Hilmy Mohd Zaki apabila masing-masing pulang ke rumah selepas selesai berniaga.
3-Kira-kira jam 11.40 malam, suaminya masuk ke rumah terlebih dahulu sementara Kieda dan dua orang anaknya berada di dalam van.
4-Ketika itu, Mohd Hilmy menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendapati keadaan rumah tidak seperti biasa. Difahamkan langsir kediamannya terangkat manakala terdapat baju kurung di atas kusyen.
5-Mohd Hilmy mengetahui keadaan rumah berubah kerana pada jam 7 malam hari kejadian, lelaki itu terlebih dahulu pulang ke rumah untuk menyediakan keperluan anak dan mengemas.
6-Selepas mendapati ada sesuatu berlaku, Mohd Hilmy meminta Kieda menghubungi sepupunya yang tinggal berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
7-Mohd Hilmy meminta Kieda dan anak-anak mereka terus menunggu di dalam van dan mengunci pintu untuk keselamatan.
8-Sementara itu, lelaki itu dan sepupu mengambil langkah memeriksa sekeliling rumah dan mendapati salah sebuah tingkap telah pecah.
9-Ujar Kieda, suaminya mendapati ada kesan cungkil dan disepak pada tingkap.
10-Difahamkan suspek hanya menggeledah bilik.
11-Kieda mengesyaki penjenayah baharu sahaja masuk ke dalam kediamannnya memandangkan terdapat kesan tapak kasut basah manakala bau badan yang sangat busuk masih boleh dihidu.
12-Jelas usahawan itu lagi, beliau dan suaminya hanya menyedari peti besi yang mengandungi barang kemas bernilai RM800,000 hilang ketika mengemas bilik tidur yang berselerak diselongkar penjenayah.
13-Kieda menjelaskan ia satu-satunya barangan yang hilang.
14-Peti besi berisi barang kemas usahawan itu yang dianggarkan seberat 200 kilogram itu disimpan di dalam almari.
15-Kieda membuat laporan polis selepas keluarga dan kakitangan datang ke rumah.
16-Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
17-Kata Zulkeflee, pihaknya menerima dua laporan polis daripada ahli perniagaan itu iaitu pada hari kejadian dan dua hari selepas kejadian.
19-Selain itu, kamera litar tertutup (CCTV) kediaman itu juga didapati rosak.
20-Jumlah kerugian masih belum dapat disahkan berikutan polis belum menerima dokumen barangan yang hilang tersebut.
21-Siasatan polis masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
MASIH TRAUMA
Mengakui masih trauma dengan kejadian itu, Kieda sempat menitipkan nasihat buat orang ramai agar sentiasa berhati-hati.
Namun, saya yakin dengan takdir ALLAH SWT yang sebaik-baik perancang. Insya-ALLAH akan ada jawapan untuk orang yang teraniaya,” kongsinya.
‘MOGA ADA KEAJAIBAN’ – KIEDA
Sementara itu, menerusi laman sosial Instagram, Kieda mendedahkan telah berikhtiar pelbagai cara untuk mendapatkan kembali barangan yang dilarikan.
"Ada yang mencadangkan usaha cara kampung, saya dan suami telah cuba pelbagai tempat.
"Selama 40 hari ini, sehari pun Kieda tidak berhenti berusaha.
"Jawapan semuanya sama, yang melakukan ialah orang yang terdekat. Kami tidak dapat buat apa kerana kami orang biasa,” jelas Kieda.
Usahawan kelahiran Pulau Pinang itu juga mendedahkan alasan tidak menularkan kejadian berkenaan kepada umum.
"Kami juga tidak viralkan dari awal kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis. Namun, 40 hari menunggu masih belum ada jawapan.
"Saya dan suami terus berdoa. Tidak reda tapi pasrah dan berharap barangan milik kami masih ada lagi.
"Moga ada keajaiban. Terima kasih kepada yang mendoakan. Insya-ALLAH Kieda kuat dengan sokongan kalian,” ujarnya di IG Story.
Sama-sama kita doakan agar kes yang menimpa Kieda ini dapat diselesaikan dan pelaku diberikan hukuman setimpal.