Hampir 1 juta view, kisah hadiah misteri dalam kotak di Masjid Sri Sendayan tular. Rupanya ada cerita wanita yang menyentuh hati

Iklan

Iklan
Iklan

PERKONGSIAN seorang wanita tentang sehelai selendang dan sepasang kerongsang menyentuh hati warganet. Dikenali sebagai Mira Munirah, beliau berkata, kotak berisi barangan berkenaan ditemui suaminya yang merupakan pengawal keselamatan di masjid tercantik Negeri Sembilan itu.

"Suami saya terjumpa kotak berisi selendang dan brooch bersama surat di tulis pada helaian tisu. Ia daripada Nurul yang berniat nak hadiahkan selendang ni kepada emak bekas teman lelaki.

Iklan

"Mereka baru je berjumpa di Masjid Sendayan namun rupanya lelaki tu dah nak kahwin.

"Kalau boleh bantu saya cari Nurul ni.. Buat Nurul, semoga awak dapat pengganti lebih baik. Dan saya akan jaga hadiah ni," katanya.

Iklan

Namun isi warkah yang dikongsikan Mira menjadi perhatian warganet. Nurul meluahkan kecewa lelaki itu tidak jujur kerana sudah mempunyai pilihan hati, malah bakal bernikah bulan berikutnya.

Berikut isi surat yang bertarikh 14 Mei 2024 itu:

"Assalamualaikum, saya Nurul. Kalau ada yang nampak atau jumpa box ini saya harap awan boleh jaga/ guna baik-baik.

"Ini hadiah daripada saya kepada mama kawan lelaki saya, Ahmad. Tapi percaturan ALLAH, tiada jodoh antara kami. Jadi saya menghormati semua orang, saya ingin sedekahkan hadiah ini kepada sesiapa sahaja yang jumpa.

"Ambil dan gunalah sebaik mungkin ya. Saya harap awak dipermudah segala urusan kerana telah menolong saya menerima hadiah ini.

"Kita mungkin tak jumpa di dunia ini, tetapi saya yakin awak dan saya akan saling mencari di akhirat nanti. Saya akan jadi saksi depan ALLAH untuk awak sebab tolong ambil hadiah ini. Saya reda, tetapi dengan nama ALLAH, hati saya sangat sakit dan kecewa. Saya minta awak doakan ALLAH gantikan saya dengan yang lebih baik. Doakan urusan perkahwinan mereka berjalan lancar.

"Saya sudah cuba berikan hadiah ini kepada orang di sebelah tetapi mereka enggan menerima, mungkin kerana takut scam atau prank.

"Kenapa Masjid Sendayan? Kerana pada 12/4/2024 dia bawa saya jalan-jalan di sini dan 13/5/2024 dia kahwin.

"Kejam? Ya, tetapi saya masih consider baik juga kerana datang berjumpa untuk kali terakhir dan tidak beritahu berita perkahwinannya secara berdepan (kerana saya ada competent person training, so I need to focus). Alhamdulillah, saya lulus hari ini, baik kan ALLAH?"

Baca juga: Suami hati-hati halau isteri dari rumah boleh jatuh talak, ini penjelasan Dr Zulkifli

Mira yang memuat naik hantaran di TikTok tidak menyangka ia menerima lebih 37,000 tanda suka dan 940,000 tontonan sekali gus berjaya mengesan Nurul.

"Terima kasih gais! Nurul sebenar sudah muncul dan dia ada explain apa terjadi.

"Kita doakan adik Nurul kuat untuk move on dan akan berjumpa jodoh soleh yang ikhlas menjadikannya suri hati. Jom aminkan beramai-ramai," katanya.

Menerusi mesej yang dihantar, gadis itu yang enggan mendedahkan dirinya terluka.

"Saya gembira mengetahui hadiah itu ada diterima dan baik orangnya. Saya doakan akak dan suami dalam lindungan ALLAH, moga dipermudahkan segala urusan dan dibalas dengan kebaikan," kongsi Nurul dalam mesej berkenaan.

Warganet meluahkan simpati dengan nasib Nurul mendoakan agar gadis itu dikurniakan jodoh yang baik-baik. Ujar mereka:

"Berapa banyak airmata ditumpahkan untuk surat ini, semoga dia kuat."

"Kepada Nurul, kalau awak baca komen ni. Ketahuilah awak tak keseorangan. Kami semua doakan awak bertemu dengan jodoh yang lebih baik."

"Kepada Nurul atau sesiapa saja yang sedang bersedih atau berada dalam kesukaran, biasakan diri untuk bersedekah walau dengan sekecil-kecil doa untuk orang lain."

"Kalau awak jumpa Nurul. Awak cakap dekat dia, ramai sayangkan dia dan mendoakan kesejahteraannya. Tolong peluk dia untuk saya."

"Kepada Nurul, awak wanita tabah. Mungkin saya tak sekuat awak. Kawan lelaki saya bakal dijodohkan dengan pilihan ibu bapanya walaupun dia menolak."

Tidak kurang yang berkongsi pernah melalui situasi perit menjadi mangsa lelaki tidak jujur sama seperti Nurul.

"Pernah terjadi kepada saya. Hari ini dia bawa keluar makan dan jumpa emak saya beritahu hendak jaga saya. Akhirnya dia kahwin dengan adik angkat. Penat jer jemputnya di airport semata-mata untuk dia balik kawin."

"Pernah rasa macam ni. Beli baju raya sama-sama, jemput berbuka puasa di rumah. Tiba-tiba masa raya senyap. Raya kedua saya berjumpa emaknya. Emak dia menangis beritahu dia sudah nikah raya pertama. ALLAH gantikan dengan yang lebih baik, Alhamdulillah."

Kepada lelaki, jangan mudah memberi kasih sayang jika sebenarnya ada pilihan yang lain. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.

Sama-sama kita doakan 'Nurul' bertemu jodoh dengan lelaki yang jujur.