SEBAK! Penulis tidak dapat menahan perasaan menyaksikan wanita, Nur 'Ainussabi'ah Mohammad Sulaiman bertemu dan memeluk wanita seiras ibunya.
Menerusi pertemuan diaturkan Malaysia Hari Ini, Nur 'Ainussabi'ah atau lebih dikenali sebagai Ain bertemu dengan individu yang mempunyai wajah dan susuk tubuh yang sama dengan arwah ibu kandungnya yang dikenali sebagai Katijah Amat atau Mak Cik Katijah.
Segalanya bermula daripada video tular di laman sosial TikTok. Ain kebetulan merakam wajah warga emas berkenaan yang ditemui di sebuah pasar raya di Peringgit, Melaka.
"Tengah makan tiba-tiba ternampak mak cik ini. Ya ALLAH sebijik macam muka arwah mama dari jauh.
"Nasib baik masa itu tengah makan ayam peuk, acah-acah kepedasan namun hakikatnya sudah banyak air mata jatuh," kongsi Ain sambil meminta maaf kepada keluarga wanita itu kerana merakamkan video secara senyap-senyap.
Ujar Ain, senyuman, bentuk muka wanita dan kening itu salin tidak tumpah ibunya, Alimah Jajuli yang sudah kembali ke rahmatullah pada 25 Mac 2023.
"Namun ketika melihatnya, saya tidak kuat untuk pergi jumpa. Saya cuma rekodkan dan kongsikan bersama adik beradik yang lain.
"Mereka juga mengakui persamaan itu," katanya.
Rupanya pertemuan mereka tidak hanya sampai di situ. Difahamkan anak kepada Mak Cik Katijah telah meninggalkan komen pada hantaran berkenaan.
"Saya meminta maaf merekodkan ibunya. Namun saya dimaklumkan mereka berbesar hati untuk menjadi keluarga angkat," ujar Ain.
MHI memberi kejutan berkongsi momen mempertemukan Ain dan wanita warga emas itu.
Kakaknya juga mengakui persamaan Mak Cik Katijah dengan arwah ibu.
"Apabila menonton video dikongsi Ain di grup, saya akui memang sangat sama. Saya minta Ain untuk terus jumpa tetapi katanya tidak sampai hati dan hanya melihat dari jauh sahaja.
"Saya rasa bestnya kalau dapat jumpa di Melaka. Saya beritahu adik cubalah. Mana tahu kuasa viral," katanya.
Bagi Mak Cik Katijah yang memiliki kepada 10 anak dan 14 cucu, beliau meluahkan rasa simpati kepada Ain.
Wanita itu yang ditemani menantu tidak berkira memberikan pelukan kepada Ain, kakak dan adiknya.
Sebagai anak yang sudah kehilangan ibu, Ain berkongsi nasihat kepada warga maya untuk sentiasa menghargai ratu hati masing-masing selagi ada.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menyatakan rasa sayu melihat pertemuan tersebut lebih-lebih lagi melibatkan adik-beradik yang begitu merindui arwah ibunya.
Mereka juga mengakui wajah seiras ibu Ain dan Mak Cik Katijah sehingga membuatkan mereka adik-beradik begitu terkejut dan menitiskan air mata. Ujar mereka:
" Jatuh air mata jantan kalau bab mak."
"Kuasa ALLAH yang sangat hebat. Terubat rindu Ain dan adik-beradiknya."
"Saya pun biasa terjumpa orang seiras arwah emak. Tapi hanya tiga kali sahaja. Rindu mak."
"Saya peluk emak orang pun rasa sebak, inikan pula seiras."
"Tak terkata, sebak."
"Dulu arah emak pernah cerita seorang wanita asyik tengok dia. Mulanya emak ingat kawan aku. Tak lama lepas itu wanita itu minta izin untuk memeluk. Katanya muka emak iras ibunya. Mak kata peluklah, lepaskan rindu."
Baca juga: Seiras Siti Sarah, wanita ini buat Uwais toleh melihat berkali-kali
Sumber: TikTok cmtujuh, MHI