BULI siber terus meragut nyawa. Baru-baru ini pempengaruh media sosial dan aktivis Rajeswary Appahu atau dikenali sebagai Esha menamatkan riwayatnya sendiri kerana tidak tahan ugutan diterima dalam talian.
Insiden pemergian tragis influencer yang memiliki 188,000 follower di TikTok itu tular di media sosial hingga ahli keluarga tuntut keadilan atas kematiannya.
Cukup memilukan hati, berikut adalah garis masa serta info berkaitan kejadian tragis dilaluinya:
1-Polis mengesahkan Esha pernah membuat laporan polis sehari sebelum kematiannya iaitu pada 4 Julai.
Bagaimanapun polis tidak dapat membuka kertas siasatan susulan mangsa tidak dapat hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada keesokan harinya kerana sudah meninggal dunia pada 11 pagi keesokannya.
2-Aktivis hak asasi Hindu berusia 30 tahun itu menamakan dua individu dalam laporan yang dibuat di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur mendakwa mereka membuli dan membuat komen-komen jelik terhadap dirinya di media sosial.
3-Esha juga pernah cuba mendapatkan pertolongan daripada terus menjadi mangsa buli di media sosial. Timbalan Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), David Marshel mendedahkan Esha ada menghubunginya minggu lalu untuk diselamatkan daripada dibuli beberapa individu yang menggunakan nama samaran atau akaun palsu.
4-Pempengaruh itu memberitahu bahawa dia mahu membunuh diri akibat tekanan yang berpunca daripada kata-kata hinaan sehingga membabitkan ahli keluarga.
6-Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mendedahkan pada 6 Julai, lelaki berusia 39 tahun membuat laporan polis berkaitan ugutan yang didakwa dibuat terhadap mendiang.
7-Pengadu melihat dua catatan di TikTok yang dimuat naik oleh dua pengguna di bawah nama Dulal Brothers dan Alphaquinnsha yang memfitnah dan mengugut influencer itu. Kedua-dua akaun menggunakan foto Esha sebagai latar belakang untuk video yang dimuat naik pada akaun mereka.
9-Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis, namun disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun Tiktok tersebut.
10-Susulan laporan berkenaan, polis menahan suspek wanita berusia 35 tahun. di Bukit Beruntung Golf Resort dan akan direman di ibu pejabat polis Sentul sehingga 10 Julai.
11-Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan kes kematian influencer berkenaan selepas dibuli siber telah dirujuk kepada polis untuk siasatan.
12-Jelas Fahmi, walaupun mangsa sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aduan itu tidak berkaitan dengan insiden buli siber yang dipercayai menyebabkan kematiannya.
13-Fahmi memberitahu, beliau telah bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai perkara tersebut.
14-Isu tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik, meliputi aspek perundangan dan penguatkuasaan.
15-Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Baca juga: 'Alhamdulillah, selesai'. Individu hina anak Caprice melutut mohon maaf, solat taubat di masjid
KELUARGA MAHU KEMATIAN ESHA TERBELA
Suasana sedih menyelubungi upcara persemadian mendiang di Tanah Perkuburan Hindu Ampang, Ulu Kelang.
Menerima pemergian Esha dalam keadaan menyedihkan, keluarga menuntut keadilan buat mendiang.
Kakaknya yang dikenali Susila Appahu, 34, berkata Esha seorang adik yang baik dan tidak pernah mengganggu sesiapa pun.
Beliau tidak menyangka adiknya dibuli dalam talian hanya kerana mendiang seorang wanita.
"Saya sudah hilang adik, saya anak sulung. Semua buli dia, banyak keluar dalam TikTok, carut, kotorkan, busukkan nama dia.
"Adik saya bagus pada semua orang, dia tidak ada buat salah dekat (pada) sesiapa. Dia seorang yang kuat. Dia buat baik.
Susila juga memohon agar orang ramai untuk membantu keluarganya bagi mendapatkan keadilan untuk adiknya itu.
"Tolong rakyat Malaysia bantu kami dapatkan keadilan untuk Esha,” luahnya.
Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan keresahan, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan.
Mereka yang mengalami masalah kesihatan mental atau terfikir untuk membunuh diri boleh menghubungi Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau 019-261 5999 di WhatsApp); Pusat jagaan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (011-1959 8214 di WhatsApp); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929, layari www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk senarai penuh nombor dan waktu operasi, atau e-mel sam@befrienders.org.my