KEMATIAN bayi Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, pada Mac 2022 pernah menggemparkan negara.
#JusticeForBabySyifaa kemudian trending di laman sosial selepas warga maya turut serta menuntut keadilan pemergiannya.
Mungkin ramai yang masih mengingati kes melibatkan si kecil, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, yang meninggal dunia di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan, Sendayan, Negeri Sembilan pada 22 Februari 2022.
Difahamkan dalam kejadian, pengasuh mendakwa kematian bayi itu akibat tersangkut pada kain buaian dalam keadaan tergantung.
Bagaimanapun, bapa Allahyarham, Yuseri Yusoff dalam hantaran di laman sosial Facebook menyatakan kesan kecederaan pada leher anaknya bukan terjerut kain buaian sebaliknya dijerut.
"Kesan lebam pada leher Baby Syifaa adalah kesan tali wayar atau kabel. Selain itu, tiada kesan 'jaring' pada leher Baby Syifaa,” titipnya.
Dalam perkembangan terkini, sesi inkues kes kematian si kecil itu di Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematiannya adalah disebabkan kecuaian pengasuh.
Berikut adalah info yang dilaporkan portal berita tempatan:
1-Koroner, Datin Surita Budin dalam keputusannya berkata, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh yang juga saksi inkues berkenaan.
2-"Saya buat dapatan dan keputusan bahawa kematian Asyifaa disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian sisi hujung kain buaian.
3-"Berdasarkan keterangan saksi secara keseluruhan mahkamah memutuskan kematian si mati adalah bukan disebabkan kemalangan atau kecelakaan tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung dalam buaian.
4-"Akibat tindakan dan tinggalan pengasuh pusat jagaan, Khairulnisa Ahmad Damunhuri yang meninggalkannya dalam buaian tanpa pengawasan berpatutan dan sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah dan akhirnya menyebabkan kematian si mati dan terjumlah dalam satu perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam pendengaran keputusan inkues di Mahkamah Sesyen Seremban," katanya.
5-Dalam dapatannya, Koroner turut memaklumkan, seramai 28 saksi telah dipanggil mahkamah bagi memberikan keterangan.
6-Inkues berkenaan sejak difailkan pada 8 April 2022 dan bermula pada 22 September 2022.
Untuk rekod, kanak-kanak berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan.
Pada 30 Mac tahun sama, bapanya, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian
Yuseri juga difahamkan telah mendapatkan pandangan pakar forensik luar negara yang mana menurutnya, kesan lebam di leher si kecil itu bukannya akibat jerutan kain sebaliknya kesan jerutan tali, wayar atau kabel.
Terdahulu, bapa itu menyatakan ketidakpuasan hati berkaitan jerutan pada leher anaknya yang terlalu kemas dan secara logiknya jika bayi terjerut kuat, dia akan meronta, malah perkara berkenaan mungkin perbuatan yang disengajakan dan agak mustahil disebabkan jerutan buaian.
Di samping menjelaskan kepada mahkamah terpaksa mengambil tindakan lanjut terhadap kerana mendapati tiada apa-apa tindakan selepas 33 hari kematian anaknya, Yuseri turut menegaskan dia juga tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dilakukan pegawai penyiasat kes terbabit kerana terdapat banyak kelemahan.
Selain pakaian mangsa yang dipakai pada hari kejadian yang ditinggalkan dan pkesan kecederaan pada tubuh mangsa juga didakwa diabaikan.
Dakwa Yuseri, terdapat sekeping kuku jari kaki tercabut namun tak pernah diberi penerangan berkaitannya. Selain itu, terdapat dua tanda kuku pada pipi si kecil selain bibir kebiruan.
'TIADA SATU HARI PUN DILALUI DENGAN MUDAH' - IBU
Ibu Allahyarham, Anida Idrus berpuas hati dan menerima keputusan mahkamah biarpun anaknya itu sudah tiada sejak dua tahun lalu.
"Tindakan meninggalkan anak saya dalam keadaan pintu tertutup adalah tidak berprikemanusiaan oleh orang yang saya amanahkan untuk jaga anak saya.
"Tiada apa pun yang dapat nafikan anak saya meninggal ketika di bawah jagaan pengasuh. Tiada satu hari pun saya lalui dengan mudah.
"Saya sudah reda dengan kematian anak saya, tapi ini adalah pembelaan untuk kematiannya. Ini patut menjadi pengajaran kepada pihak taska dan ibu bapa." katanya ketika ditemui media sejurus keputusan inkues dimaklumkan.