PELAKON Erynne Erynna, 27, mendedahkan ikatan perkahwinanya bersama Muhamad Afify Sazali sudah terlerai.
Berita duka penceraian dikongsikan pemilik nama sebenar Syazlynne Erynne Abdullah itu menerusi Instagram miliknya.
"Bismillahirrahmanirrahim. Jika dahulu pada tahun 2019 saya kongsi berita gembira telah berkahwin, kini dengan dukacitanya saya memaklumkan sudah bercerai.
"Segala puji bagi ALLAH. Sungguh, ini ujian yang amat berat. ALLAH menduga dan memberi ujian pada hamba hamba-NYA yang DIA sayang dan tidak akan menguji lebih daripada kemampuan," titip Erynne.
Biarpun sudah membawa haluan sendiri, pelakon filem Congkak dan Damping Malam itu tidak membenci. Malah Erynne mengakui bekas suaminya ayah yang baik buat cahaya hati mereka.
"Alhamdulillah Ya Rahman Ya Rahim. Dan kami akan cuba sedaya upaya untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada Medinah, memberikan kasih sayang yang sepatutnya, insya-ALLAH.
"To Muhamad Afify, thank you for everything. May ALLAH guide, ease, bless and protect you and our family always.
"Doakan baik-baik untuk kami sekeluarga ya. Kami juga mendoakan segala yang terbaik buat semua," titipnya.
Erynne yang memulakan karier lakonan sejak berusia lapan tahun berkahwin dengan Muhamad Afify Sazali pada 17 April 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan diberi nama Medinah berusia tiga tahun.
Terdahulu, Medinah menderita penyakit duplex kidney dan selamat menjalani pembedahan pada tahun 2022.