"ABANG saya hilang selepas joging di Stadium Sultan Sulaiman Klang."
Demikian kongsi penyanyi Aufahanie berkongsi hebahan mengenai kehilangan abangnya, Nidza Afham Mokhtar, 23, yang tidak dapat dikesan keberadaannya sejak malam tadi.
Aufahanie menerusi TikTok meluahkan rasa sedih dan kebimbangan keluarga terutama ibunya.
"Baliklah Am. Kami semua tunggu, Umi tunggu kau Am," katanya di TikTok.
Dalam masa sama, finalis Big Stage itu juga berkongsi kronologi kehilangan Nidza Afham yang meninggalkan rumah pada jam 7.54 malam.
"7.54 malam indrive pick up di rumah. 8.17 malam sampai di Stadium Sultan Sulaiman.
"9.04 malam kali terakhir beliau membalas mesej. Pada 9.13 malam, abang sudah tidak memberikan respons kepada teks yang dihantar.
"11.53 malam kami cuba menghubunginya namun panggilan tidak diangkat. Lokasi di jambatan hadapan Majlis Perbandaran Klang.
"1.50 pagi, keluarga ke jambatan berkenaan dan cari Afham dan telefonnya. Ada dua lelaki menolong mencari di sekitar jambatan berkenaan hingga ke jambatan yang belum dibuka (banyak penghadang).
Penyanyi berusia 21 tahun itu turut berkongsi butiran lanjut dan identiti abangnya agar untuk membantu dikesan orang ramai.
Tambahnya lagi, laporan polis sudah dibuat awal pagi tadi selepas ibu dan kakaknya dengan bantuan dua orang awam menemui telefon bimbit dan beg duit di hujung jambatan baharu.
"Kami masih menanti. Afham, baliklah...
"Jika ada orang awam mempunyai apa-apa informasi, tolong hubungi saya atau nombor yang tertera.
"Mohon sebarkan... dan doakan abang saya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat," ujarnya menerusi hantaran di media sosial.
KALI TERAKHIR DIHUBUNGI TEMAN WANITA
Manakala kepada Gempak, Aufahanie mendedahkan abangnya tidak menunjukkan kelakuan pelik dan mereka berdua sentiasa berhubung.
"Abang tidak menunjukkan apa-apa perilaku yang pelik, dia OK. Memang OK.
"Hampir setiap hari saya berborak dengannya kerana saya jenis suka hantar video kelakar di TikTok.
"Setiap hari tidak pernah miss untuk berborak dengannya," katanya.
Kongsinya lagi, Nidza Afham kali terakhir dihubungi menerusi mesej yang dihantar teman wanita yang dikenali sebagai Miera pada jam 9.04 malam.
Dakwanya. Miera kemudian menghubungi adik Aufahanie memaklumkan mengenai Nidza dan proses pencarian mula dijalankan bersama ibu mereka di jambatan Sungai Klang.
"Apabila abang sudah tidak membalas, Miera check lokasi abang guna Find My iPhone. Lokasi abang dekat jambatan Sungai Klang dan tidak bergerak.
"Miera cuba telefon abang tetapi tidak diangkat. Miera pun cari adik saya menerusi DM Instagram," ujar Aufahanie.
Diharapkanlokasi keberadaan Nidza Afham dapat dikesan segera. Sama-sama doakan beliau ditemui dalam keadaan selamat.
Sumber: TikTok, Sinar Harian (Nurezzatul Aqmar), Astro Gempak