PELIK dan lucu, namun lumba siput sedut menjadi trending di laman sosial sehingga menjadi tumpuan warga maya. Masakan tidak, lumba siput sedut menjadi tular di laman sosial hingga meraih tontonan yang tinggi mencecah hampir 30,000 penonton.
Menerusi video yang dimuat naik penyampai radio Hot FM, Keymi, Muhammad Aswat Azdha Idris, 29, dikenali sebagai @Tansri_ash di TikTok mengimbas kembali bagaimana mendapat idea penganjuran perlumbaan itu.
Sehingga hari ini, akaun TikTok miliknya mencatat 40,000 pengikut dan menerima lebih 5.7 juta tanda suka semasa penstriman langsung perlumbaan.
Pada mulanya beliau didatangi peniaga yang menawarkan siput sedut dengan harga RM20 ketika di rumah.
Ketika itu, Aswat sedang membuat sesi live di TikTok yang hanya ditonton 10 orang.
"Saya bayar, letak dekat tepi meja. Tiba-tiba siput sedut tu naik, dia nak keluar dari plastik. Saya tak ikat plastik tu. Saya pun ambil satu, saya letak atas meja.
Tambahnya, penonton penstriman langsung yang pada awal ditonton 10 orang tiba-tiba mencanak naik kepada 100 orang dan terus tinggi.
Semua tertarik dan rancak memberikan komen berkenaan siput berbanding barang yang dijual.
"Saya cakap yang mana kalah, masak lemak. Itu yang laju tu. Yang menang masuk next round" katanya berjenaka.
Aswat tidak menyangka rakyat Malaysia mudah terhibur dengan content yang sebegitu. HInggakan ada yang mengirim WhatsApp berminat untuk beli siput sedut tersebut!
Terdahulu, Aswat mula menjadi perhatian selepas mengulas perlumbaan siput sedut dengan menamakan pelumba mengikut negeri di Malaysia yang katanya diinspirasikan daripada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Sarawak.
Menerusi tinjauan SinarPlus, Aswat tidak lokek berkongsi rezeki bersama keluarga hasil kutipan hadiah sesi live.
"Terima kasih kepada semua gifters, next race kita akan update," kongsinya.