KECOMELAN anak penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri, Nur Khawla Soleha sentiasa mengundang perhatian peminatnya selain mencuit hati warga maya.
Meskipun baru berusia dua tahun, Khawla seorang kanak-kanak yang sangat petah bercakap menjadikan anak penyanyi itu mudah untuk didekati.
Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly mendedahkan bahawa anak perempuannya itu kini telah dilamar oleh beberapa jenama untuk beberapa tawaran kerja.
"Khawla petah bercakap, dia juga ada kerjasama dengan beberapa kempen jadi bagus lah untuk ‘duit poket’ sekolahnya," dedah Syamel.
Bahkan, Syamel tidak kisah jika anak perempuannya itu mahu menyertai industri hiburan dan sedia memberi ruang kepada Nur Khawla.
"Kalau itu minat dia, saya akan sokong, sebab sekarang pun dah boleh nampak dia suka nyanyi, menari dan suka apa yang kami buat.
"Kami gembira, kalau saya nak halang nanti dikatakan ‘selfish’ pula," katanya ketika sidang media lagu terbaharunya berjudul Hamba Cinta, baru-baru ini.
Ditanya akan tanggapan segelintir pihak yang mendakwa pelantun lagu Lebih Sempurna itu menggunakan keistimewaan anaknya bagi meraihkan keuntungan, Syamel tidak melenting.
Beliau dengan rendah diri memberitahu dirinya dan isteri tidak pernah memaksa anak perempuan mereka berbuat sesuatu yang tidak disukainya melainkan kemahuannya sendiri.
"Kami bukan memaksa dia untuk melakukan sesuatu itu memang apa yang dia suka, dia seorang yang peramah dan kalau ada video shooting ke apa dia memang akan suka.
"Kalau nampak macam Khawla dipaksa tu kita tak syok sebab dia memang sejenis yang sukakan perhatian kerana jika ada kamera dia yang ke depan dahulu.
"Bab urusan duit, memang saya serahkan kepada Ernie kerana bagi saya perempuan lebih teratur menjaga kewangan anaknya.
"Berapa pendapatan yang Khawla dapat semestinya akan diasingkan untuk dirinya dan sedikit sebanyak memberi kemudahan juga kepada kami," ujar Syamel.
Sebagai rekod Syamel mendirikan rumah tangga bersama Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri pada 22 Mac 2021.
Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Khawla yang kini berusia dua tahun enam bulan.