TULAR satu perkongsian baru-baru ini yang memaparkan sikap seorang suami memarahi isterinya kerana memilih bersalin secara pembedahan.
Lelaki itu dikatakan telah mengutuk isterinya kononnya telah 'rosak' akibat dibelah perutnya itu.
Bukan itu sahaja, beliau turut mengugut untuk kahwin lain.
Hal tersebut dmuat naik pemilik akaun yang dikenali sebagai @flowertersakiti menerusi medium TikTok. Beliau berkongsi kisah sedih apabila suami memarahinya kerana bersalin kaedah pembedahan atau caesarean (czer).
Perkara tersebut mendapat perhatian ramai termasuklah pempengaruh dan doktor selebriti, Dr Say. Beliau yang berang dengan kenyataan si suami telah melabelkan lelaki itu sebagai cetek akal kerana tidak memahami keadaan sebenar isterinya.
"Hari ini saya ada terbaca seorang suami mengugut isterinya untuk berkahwin lain semata-mata kerana isterinya bersalin secara pembedahan. Tambahnya dia ingin berbuat sedemikian kerana isterinya telah rosak selepas bersalin emergency caesar.
"Saya cukup terkesan dengan lelaki yang cetek akal dan ilmu macam ni," kata Dr Say dalam sebuah video di TikToknya.
Dalam perkongsian tersebut, Dr Say telah menjelaskan keadaan sebenar mengapa seorang ibu yang seharusnya bersalin secara pembedahan.
"Kepada yang tak tahu emergency caesar adalah satu keadaan yang mana ibu mengandung harus bersalin secara pembedahan dalam keadaan getir kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa ibu atau kandungan jika proses bersalin itu dibiarkan lebih lama.
"Anak pertama saya lahir emergency caesar sebiji macam kisah wanita ini yakni bayi lemas yang mana denyutan jantung bayi lemah dan bila dibedah ada tali pusat melilit leher anak saya sebanyak 2 kali.
"Doktor dekat dunia ini takkan sewenang-wenangnya suruh seorang ibu yang sarat mengandung untuk melakukan emergency caesar sebab risiko pembedahan lebih besar berbanding bersalin normal. Tujuan utama emergency caesar adalah untuk mengurangkan risiko dan memastikan outcome yang terbaik untuk ibu dan juga bayi," jelasnya.
Tambah Dr Say lagi, seorang ibu yang melahirkan anak secara pembedahan perlu dijaga dengan rapi dan memerlukan 7 kali jahitan pada pembedahan mereka bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
"Nak cakap rosak badan pula celah mana yang rosak? Doktor akan jahit 7 lapisan yang dibedah itu dengan kemas dan teliti sebab kalau ada lapisan yang tidak dijahit dengan kemas ada pelbagai komplikasi boleh terjadi seperti pendarahan, jangkitan kuman, luka terbuka dan banyak lagi.
"Secara ringkasnya, wanita yang bersalin tak kira apa jua cara, baik normal, emergency ceasar ataupun elective caesar patut diraikan sebab proses mengandung, bersalin, recovery selepas bersalin kalau diberikan kepada kita kaum lelaki belum tentu kita mampu melaluinya.
"Hang patut bersyukur isteri dan anak hang masih hidup bro," tambahnya.