Liwat remaja lelaki hingga dijangkiti HIV, tukang gunting rambut dihukum penjara dan sebatan

Iklan

PERBUATAN keji yang dilakukan seorang tukang gunting berakhir di tirai besi apabila di penjara sembilan tahun dan empat sebatan atas kesalahan meliwat remaja lelaki.

Tertuduh, Meruan Daud mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Iklan
Iklan

Ahmad Faizadh dalam penghakimannya berkata, hukuman yang dijatuhkan mahkamah telah mengambil kira semua faktor termasuk pertuduhan, fakta kes, jenis kesalahan dilakukan, rayuan tertuduh selain hujah pihak pendakwaan serta faktor kepentingan awam.

Meruan yang berusia 49 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki berumur 16 tahun.

Iklan

Perbuatan keji itu dilakukan di sebuah kedai gunting rambut milik tertuduh di Kampung Mentadak Baru Sungai Tamang, Pulau Sebatik, Tawau kira-kira jam 12 tengah hari pada 11 Mac lalu.

Meruan didapati mengambil kesempatan sejak mangsa berusia 13 tahun lagi dan berterusan sehingga ke usia 16 tahun.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengenali mangsa kerana tinggal di kampung yang sama dan melepaskan nafsu serakahnya seminggu sekali terhadap mangsa.

Aktiviti tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas mangsa yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau didapati positif HIV hasil daripada saringan di Klinik Kesihatan Kubota sebelum mangsa mengakui telah melakukan hubungan sejenis dengan tertuduh.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 2 April lalu.

Tertuduh juga dikehendaki menjalani khidmat kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta berada dalam pengawasan polis selama tempoh dua tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara.