SIKIT-sikit ambil gambar, tak pun video.
Mungkin ada orang menganggap perbuatan ini umpama nak menunjuk-nunjuk kebahagiaan hidup. Mungkin juga ada yang berasa rimas dengan perbuatan tersebut. Namun ketahuilah, momen yang disimpan itulah menjadi medium melepaskan kerinduan bila anak-anak sudah meningkat dewasa atau mereka yang telah tiada.
Begitulah pendapat pempengaruh dan jurusolek MUA Bellaz yang jika dilihat sering berkongsi gambar dan video gelagat anak-anaknya terutama anak bongsunya, Wara.
Akui Bellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini, beliau tidak mempunyai banyak foto ketika kecil. Oleh sebab itu dia sering merakamkan momen bersama anak anak supaya suatu hari nanti apabila mereka sudah meningkat dewasa, mereka boleh tengok semula kenangan kecil mereka.
"Sebab tu saya ambil gambar mereka ketika kecil, bila tengok semula..’ini gambar dengan mama’.
"Saya cuma ada dua tiga keping gambar sahaja semasa kanak-kanak, jadi saya teringin sangat nak tengok gambar saya ketika bayi," katanya yang tidak dapat menahan sebak menerusi temu bual bersama Pa&Ma.
Dalam pada itu, ibu kepada empat orang anak itu berkata, kesempitan hidup keluarganya menyebabkan dia tidak mempunyai kesempatan untuk bergambar dan merakamkan momen bersama mereka.
"Saya tak boleh tengok balik momen itu kerana dulu saya sangat susah.
"Jadi bila dah ada anak ini saya pakaikan mereka dengan baju yang cantik-cantik. Bila mereka tengok nanti, inilah momen kita bersama.
"Momen hari ini takkan sama dengan esok, kalau nak diulang semula takkan akan dapat. Ambil (gambar) sahaja momen itu, nanti bila sudah tiada dan rindu boleh tengok balik," tambahnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata orang ramai bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh Bellaz. Malah, mereka juga turut melakukan perkara yang sama kepada anak-anak kerana pernah mengalami situasi serupa.