PILUNYA kisah ibu ini, belum sempat mencurahkan kasih sayang bayi tersayang pergi srlama- selamanya. Hanya 30 hari bersama, pemergian si kecil dipercayai dikasari jururawat di sebuah pusat penjagaan pantang di Kota Bharu, Kelantan.
Lebih memilukan, kejadian terbabit berlaku pada hari lahirnya iaitu 9 September.
Bapa bayi berkenaan itu memberitahu, perkara sebenar terbongkar apabila mereka menyaksikan sendiri kejadian yang menimpa anak sulung, Choo Jyn Hern melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di bilik pusat jagaan berkenaan.
"Sehingga sekarang emosi isteri tidak stabil malah setiap kali ingin mengepam susu, dia akan menangis teringat anak kami," kata suami, Choo Kamin, 30.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Dakwa Kamin, bayi yang dinantikan selama tiga tahun itu diperlakukan dengan kasar oleh jururawat tersebut.
"Saya pilih pusat jagaan berpantang tersebut untuk mendapatkan rawatan terbaik buat isteri serta anak. Kami membayar RM13,000 untuk rawatan selama 28 hari.
"Kami sepatutnya keluar dari pusat tersebut pada 10 September dan kejadian itu berlaku sehari sebelumnya," katanya.
Sebelum itu keluarga tersebut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Susulan kejadian terbabit, Kamin serta ahli keluarganya akan mengambil tindakan saman terhadap pusat jagaan berpantang itu serta menyerahkan kes jururawat terbabit kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, kejadian itu memberikan trauma bukan sahaja kepada isteri tetapi ibunya, Gan Pheck Chin, 60, yang sangat menantikan kehadiran cucu lelaki itu.
"Sehingga hari ini ibu masih bersedih dan kami berharap nasib yang menimpa anak kami ini akan mendapat pembelaan," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, bayi lelaki berusia 30 hari meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri setelah diberikan susu oleh jururawat yang ditugaskan menjaga mangsa di sebuah pusat jagaan berpantang di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 5.30 pagi.
Menurut beliau, laporan diterima berkaitan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berkenaan.
Pada Rabu, seorang jururawat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia 30 hari pada Isnin.
Perintah tahanan reman bermula Rabu sehingga Selasa depan terhadap wanita berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.