BIARPUN sosok tubuh insan kesayangannya suatu ketika dahulu sudah tiada, penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari tidak pernah lupa untuk menitipkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran Allahyarham Ashraf Sinclair sebagai tanda penghargaan dan ingatan.
Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL memuat naik foto kenangan arwah sewaktu menyambut hari lahir sebelum ini mengundang sebak.
Lebih menyentuh hati, hantaran yang diiringi dengan lagu Gone Too Soon nyanyian Michael Jackson itu seolah-olah menceritakan pemergian arwah yang terlalu awal.
"Selamat ulang tahun di syurga. Saya rasa seperti terlalu banyak kata-kata yang mahu diungkapkan, terlalu banyak cerita untuk dikongsikan.Tapi, saya tidak tahu nak ungkapkan,” ucapnya.
Penyanyi lagu Wanita Terbahagia itu juga sempat menitipkan ucapan terima kasih serta meluahkan rasa rindu yang terdalam buat arwah suami.
"Apa yang saya boleh katakan adalah terima kasih. Terima kasih untuk semua kenangan indah, setiap susah payah yang kita sudah lalui, suka, tawa dan tangis yang kita kongsi bersama. Terima kasih untuk segala memori yang kita harungi bersama.
"Awak terlalu bermakna buat saya dan semua yang menyayangi awak. Semoga awak meraikannya dengan baik di sana. Saya rindu awak,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Pantas masa berlalu, jika arwah masih ada, Ashraf pastinya sedang menyambut hari lahirnya yang ke-45 tahun hari ini, 18 September.
Walaupun empat tahun telah berlalu, kasih sayang isteri terhadap suami tercinta tidak pernah padam daripada ingatannya.
Meninjau ruangan komen, BCL turut menerima pelbagai reaksi dari pengikut dan rakan selebriti.
"Definisi walaupun dirinya bersama yang lain, tapi hati dan cintanya masih untuk almarhum.
"Al-fatihah dibaca buat arwah Ashraf Sinclair. Semoga arwah dicucuri rahmat dan kasih sayang-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Sekadar info, BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki tampan, Noh Aidan Sinclair yang kini berusia 13 tahun.
Bagaimanapun, Ashraf menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung.
Pada 3 Disember tahun lalu, BCL telah berkahwin dengan Tiko Aryawardhana yang merupakan seorang ahli perniagaan.