MESKI anak-anak sudah menginjak usia dewasa dan ada yang sudah berumah tangga, kasih si ayah tetap tidak berkurang. Bahkan, ada yang menganggap anak-anak masih di bawah tanggungjawab mereka.
Perkongsian video seorang pengguna laman Tiktok @fyfa09 yang berkongsi tentang sikap ayahnya masih menjalankan tugas sebagai seorang bapa dengan membelikan barangan dapur untuk anak-anak walaupun sudah ada yang berkahwin.
Dalam video tersebut, kelihatan bapa bersama adik perempuan wanita itu telah datang ke rumahnya hanya kerana mahu menghantar barangan dapur.
"Siapa ada ayah yang suka beli barang dapur untuk anak walaupun dah kahwin?" tulis wanita tersebut di kapsyen perkongsian miliknya.
Akui wanita itu, setiap bulan ayahnya wajib menghantar barangan dapur tanpa gagal. Malah, bukan hanya untuk dirinya tetapi adik-beradik lain turut berikan layanan yang sama.
Antara barang basah yang dibeli oleh ayah wanita itu seperti udang, ayam, ikan, sotong, daging dan sayur-sayuran. Tidak ketinggalan barang kering seperti sos tiram, telur, garam, minyak, beberapa tin sardin, perencah nasi goreng dan bihun goreng serta beras turut dibelikan.
Bukan hanya itu, ayahnya juga akan ‘selit’ wang belanja sebanyak RM50-RM100 untuk anak-anaknya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial tersentuh melihat layanan yang diberikan seorang bapa terhadap anaknya. Malah, ada yang berasa sedih kerana tidak dapat merasakan kasih sayang sedemikian disebabkan bapa mereka telah pergi menghadap Illahi.
Sebak pula bila tengok kesungguhan si ayah dalam memastikan anak-anaknya tidak susah walaupun sudah ada suami. Bagi yang masih ada ibu ayah hargailah mereka selagi ada, ya!