'Tergamaknya mereka...' 26 hari menunggu kepulangan, isteri sedih namun lega kehilangan Sabari akhirnya terjawab, berikut kronologinya

Iklan

HAMPIR sebulan menunggu kepulangan suami, Sabari Baharom, 62, isterinya, Subhiah Roslina Shahibi, 57, pilu menerima khabar cinta hati dipercayai dibunuh selepas dilaporkan hilang sejak 4 September lalu.

"Tergamak mereka (suspek) lakukan kekejaman terhadap suami saya, kering betul hati mereka ini," katanya.

Iklan
Iklan

Berkongsi lanjut, Subhiah berkata beliau hanya mengetahui perkembangan siasatan yang mendapati suaminya itu dicampak ke sungai itu kira-kira 2 petang semalam menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

"Pada mulanya, anak saudara suami maklumkan dalam kumpulan (WhatsApp) itu, kemudian anak suami pula beritahu mereka berada di IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah) berjumpa dengan Ketua Polis Negeri.

Iklan

"Dari situ saya dapat tahu suami dibuang ke dalam sungai. Walaupun berat, saya lega kerana selepas 26 hari menunggu, akhirnya ada jawapan. Sekarang, kami hanya menunggu jasad suami ditemukan," katanya.

Iklan

Semalam, Polis Kedah mengesahkan lelaki itu dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra, dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Maklumat tersebut diperoleh polis hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan Jumaat lalu.

Menyifatkan tindakan suspek mencampak suaminya ke dalam sungai tidak masuk akal, wanita itu yakin kejahatan dilakukan oleh pelaku akan terbongkar.

"Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Sebijak macam mana pun ada kebodohan, kita kalau jahat tidak boleh nak sorok," katanya.

Subhiah dalam masa yang sama berharap operasi pencarian dipermudah sehingga jasad suaminya atau pun apa-apa sahaja barangan milik arwah ditemukan.

"Saya berharap apa saja mengenai (pencarian) suami seperti pakaian akan dijumpai meskipun harapannya tipis sebab kawasan itu terjejas dengan banjir yang teruk (sebelum ini)," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mengesahkan kes orang hilang berkenaan berjaya diselesaikan dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana membunuh.

Selain itu anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi mendedahkan suspek pembunuhan Sabari ialah kontraktor pembinaan rumah yang terletak di hadapan kediamannya di Baling Kedah sejak lima bulan lalu.

Malah lelaki itu mempunyai hubungan baik dengan suspek.

SinarPlus sebelum itu melaporkan Sabari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling pada 4 September dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangannya menjadi misteri oleh ahli keluarganya apabila kereta Proton Waja milik beliau ditemui dibakar & 'total lost' di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun pemiliknya itu dilaporkan tiada di tempat kejadian.

Berikutan itu, ahli keluarga mangsa mengesyaki pesara pegawai kanan kerajaan itu dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

KRONOLOGI KEHILANGAN SABARI

Pelbagai usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga namun Sabari masih gagal dikesan.

4 dan 5 September 2024

Seorang wanita tempatan dilaporkan melakukan transaksi wang daripada akaun Sabari hasil penelitian polis melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).

20 September 2024

Anak Sabari dimaklumkan mengenai penemuan Proton Waja yang dipandunya ditemui penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik.

24 September 2024

Polis mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Sabari.

27 September 2024

PDRM Kedah berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang disyaki dapat membantu siasatan kes.

Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua tersebut bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra Kedah dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

30 September 2024

Operasi mencari jasad mangsa di Sungai Padang Terap Jitra, Kedah dijalankan oleh polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melibatkan radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dibuang.

1 Oktober 2024

Operasi pencarian jasad mangsa diteruskan pada hari kedua bermula jam 9 pagi dengan radius diperluaskan kepada 12.8 kilometer dari Jambatan Kampung Empa yang dipercayai lokasi mangsa dibuang.

Satu lagi sektor pencarian adalah melibatkan kawasan Loji Rawatan Air Pelubang ke Tandop Chegar melibatkan radius kira-kira tujuh kilometer.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian