Selepas beberapa hari ini pelakon Nabila Huda memuat naik menjaga kucing peliharaannya yang sakit, akhirnya dia memaklumkan bahawa haiwan yang diberi nama Aoki itu 'pergi' buat selama-lamanya pada pagi Rabu.
Menerusi perkongsian Nabila di Insta Story miliknya, dapat dilihat kucing kesayangannya berada dalam keadaan lemah dan keluar darah dari bahagian mulut sebelum dikejarkan ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan.
Nabila yang tidak dapat menahan sebak menangis teresak-esak sewaktu menggendong kucing berkenaan di dakapannya sehinggalah dia dan suami mengambil keputusan mengebumikan Aoki di perkarangan rumah selepas didapati sudah tidak bernyawa.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata turut sebak dengan pemergian haiwan kesayangan terebut. Tidak kurang juga mereka memberi kata-kata semangat kepada pelakon itu supaya terus kuat walaupun faham perasaan kehilangan kucing peliharaan memang sangat memberi kesan kerana sudah dianggap seperti keluarga.
Sebelum ini Nabila Huda memaklumkan bahawa Aoki berada dalam keadaan nazak apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap empat.
Sejak itu, beliau kerap berkongsi keadaan semasa Aoki yang terlihat sangat lemah walaupun telah mendapatkan rawatan yang kerap di klinik haiwan.