PARA Sukan Malaysia (PARA SUKMA) 2024 yang dibuka secara rasmi sejak 22 September telah melabuhkan tirai sepenuhnya pada 29 September lalu.
Temasya berprestij itu bagaimanapun berjaya melakar pelbagai kejayaan sebagai acara beraneka sukan yang diadakan untuk atlet orang kurang upaya (OKU) dari seluruh Malaysia.
Pasangan suami isteri Amyrul Yazid Ahmad Sibi dan Wan Noraini Zainurian menjadi contoh apabila berjaya mencuri tumpuan orang ramai pada hari terakhir badminton setelah kedua-duanya merangkul emas dalam sukan berkenaan.
Amyrul menyumbang emas buat Kedah bersama pasangannya Ahmad Syahir Mohammad dalam acara beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan lawan dari Negeri Sembilan.
Sementara isterinya, Wan Noraini pula telah menumbangkan wakil tuan rumah dalam merangkul emas perseorangan wanita SL4-SU5 (kecacatan fizikal).
Menurut Amyrul, kejayaan isteri merangkul pingat emas sulung selepas tiga kali percubaan di temasya dwitahunan itu memberikan inspirasi buatnya untuk menebus kekalahan dan kekecewaan beliau ditumbangkan dalam acara perseorangan lelaki SU5 sebelumnya.
Malah, pencapaiannya hari ini turut menyuntik semangat lelaki tersebut untuk meraih kedudukan podium pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.
"Kemenangan isteri memang beri inspirasi buat saya. Jika isteri dapat emas, tak kan saya tidak boleh menang satu pun sebab saya ada dua final hari ini.
"Ketika aksi perseorangan pagi tadi, memang saya kecewa sebab gelanggang licin jadi tak dapat keluarkan prestasi sebenar saya.
"Alhamdullillah saya dapat kejar balik ketika aksi beregu dan akhirnya dapat emas,"ujarnya.
Begitu juga dengan isteri tercinta, Wan Noraini,40, gembira beliau akhirnya dapat mengatasi masalah kesihatan susulan hemoglobin (Hb) rendah dalam mengharumkan nama negeri Pahang sekali gus berkongsi kejayaan bermakna bersama suami tercinta.
"Julai lepas saya bergelut dengan Hb rendah dan masih rasa sedikit lagi ketika ini namun saya cuba lawan. Saya tidak fikir soal pingat dan imbuhan, hanya buat yang terbaik selepas kerja keras dilakukan sebelum ini.
Sebagai rekod, Wan Noraini yang juga pembantu tadbir di Pejabat UMNO Rompin pernah memenangi dua perak bagi acara sama pada edisi 2016 dan 2018.