PERSONALITI media sosial dan usahawan pencuci mulut Kieda Crepe cukup menghargai kakitangannya.
Dalam perkembangan terbaharu, pemilik nama nama Siti Nur Khalieda Yusra Mohd Jais menaja pakej umrah buat dua orang staf yang bersama dengannya sejak awal.
Menjelaskan ia sebagai membalas jasa dan tenaga yang dicurahkan, berita menggembirakan itu dikongsikan Kieda menerusi laman sosial TikTok.
"Momen ketika Kieda menghadiahkan pakej umrah dengan penerbangan kelas pertama kepada dua ahli pasukan yang ada dari saat Kieda berniaga di rumah yang dikenali sebagai Atikah dan Maton.
"Kieda dan suami sudah berjanji jika kami senang, kami tidak senang seorang.
"Kami menunaikan umrah, jadi mahu semua (kakitangan) juga merasa. Keluarga sudah kami bawa.
"Tahun ini, kami hadiahkannya kepada dua orang staf yang bersama Kieda dari zaman berniaga di ruang tamu rumah.
"Kini ke rumah ALLAH pula bersama tiket penerbangan kelas pertama," katanya.
Atikah dan Maton yang kelihatan sebak menerima hadiah berkenaan kemudian memeluk Kieda dan menitiskan air mata kerana terharu.
Mengakui mengotakan janjinya, dalam masa yang sama Kieda juga bersyukur dan terharu segala yang berlaku adalah ketentuan dan rezeki daripada YANG MAHA ESA.
"Kieda cakap dan Kieda tunaikan namun ini semua dengan izin ALLAH.
"Tahniah Kieda atas usahamu, ALLAH bersamamu
"Biarlah satu dunia membenciku tapi bukan ALLAH," katanya.
Hantaran berkenaan menerima reaksi positif daripada warga maya rata-rata memuji kebaikan Kieda kepada staf dan berharap ia menjadi inspirasi kepada majikan lain.
Ujar mereka:
"Alhamdulillah tahniah Atikah dan Maton. Terbaik Kieda dan Amy."
"Alhamdulillah bakal menjadi tetamu ALLAH. Moga Kieda dan team terus sukses dalam perniagaan."
"Alhamdulillah, tumpang berbangga dengan pencapaian Kieda."