Rupanya ada kisah sedih di sebalik resipi nasi goreng ibu Atikah Suhaime, kini jadi kesukaan keluarga mentua

Iklan

Terdapat kisah di sebalik nasi goreng tersebut yang mana menu itu sering dimasak oleh ibunya semasa mereka pernah hidup susah dahulu.

SETIAP antara kita pasti ada kenangan silam yang paling tidak boleh dilupakan, lebih-lebih melibatkan perubahan hidup kita dulu dan sekarang.

Iklan
Iklan

Sudah menjadi kebiasaan buat pelakon kecil molek Datin Atikah Suhaime memuat naik videonya memasak dan makan-makan.

Baru-baru ini, anak kelahiran kota singa itu berkongsi videonya memasak nasi goreng resipi ibunya. Menurut beliau, terdapat kisah di sebalik nasi goreng tersebut yang mana menu itu sering dimasak oleh ibunya semasa mereka pernah hidup susah dahulu.

Iklan

Siapa sangka, menu yang menjadi saksi kenangan silam yang susah buat mereka sekeluarga kini menjadi menu kesukaan buat suami dan bapa mentuanya.

"Nasi goreng ini ada kisah silamnya. Dulu keluarga saya masa susah hari-hari mama akan buat nasi goreng tapi tak pakai daginglah, setakat ikan bilis sahaja.

Iklan

"Kadang-kadang saya teringin makan masakkan mama, jadi buatlah nasi goreng ala mama masak. Papa mentua saya terbau nasi goreng itu dia minta.

"Saya cakap dekat dia ini masakan orang miskin sahaja, biasa-biasa, pandai makan ke? Sejak hari itu resipi nasi goreng ini sangat popular di rumah mentua,” tulisnya di dalam video tersebut.

Dalam pada itu, dek kerana permintaan suaminya, Datuk Lokman Teh yang menginginkan nasi goreng itu menjadi punca Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime menyediakan hidangan itu.

Malah, tambah bakal ibu ini, disebabkan kenangan lalu itu membuatkan bapanya tidak mahu lagi menikmati makanan tersebut kerana akan teringat kehidupan susah yang pernah mereka lalui.

"Kali ini bukan saya mengidam tetapi suami yang nak makan nasi goreng. Dia cakap siap mimpi lagi nak makan nasi goreng masakan saya.

"Ironinya keluarga saya di Singapura tak boleh telan langsung nasi goreng ini sebab trauma waktu susah dulu. Itulah kisah nasi goreng resipi mama saya ini. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri sekarang ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, bakal ibu itu juga sempat menitipkan nasihat buat orang ramai untuk pastikan rezeki tidak putus, jangan pernah kedekut bersedekah terutamanya pada ahli keluarga sendiri.

"Untuk pastikan rezeki tak putus, jangan lupa sedekah walaupun RM2 sekali pun kepada yang memerlukan. Jangan pernah kedekut pada mak ayah sendiri. Walaupun keluarga mentua kaya, saya masih beri sedikit duit, belanja makan atau apa sahaja,” akhir kata dari beliau.