POPULAR dengan gelaran 'Mowgli Malaysia', Muhammad Syukur Khamis sebelum ini mencipta fenomena dengan gambar ikonik bersama kerbau kesayangannya.
Gambar yag dipotretkan oleh jurugambar tempatan, Abdullah Dean itu bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara, malah turut diiktiraf di pentas dunia.
Lebih membanggakan apabila kanak-kanak berusia 14 tahun ketika itu, sudah meninggkat dewasa sebagai salah seorang pelajar di GiatMara dengan profesion baharu.
Syukur yang juga dikenali sebagai 'Kampung Boy' berjaya menamatkan kursus teknologi motosikal yang dipelajarinya selama enam bulan di GiatMara Hulu Terengganu.
Menerusi hantaran Facebook baru-baru ini, pelakon telefilem 'Budok Kuba' itu merasakan masa berlalu begitu pantas. Bahkan Syukur tidak menyangka beliau kini mahir dalam mengendalikan peralatan besi.
Anak muda itu turut berkongsikan gambar terbaharu, ketika sedang beraksi di Ekspo TVET@KKDW dalam pertandingan servis motosikal yang diadakan di Melaka baru-baru ini.
Pencinta haiwan itu dikatakan memilih kemahiran membaiki motosikal sebagai pilihan utama bagi meneruskan legasi perniagaan bengkel yang dimiliki keluarganya.
Meninjau ruangan komen, warga maya tidak henti-henti mendoakan kejayaan Muhammad Syukur selain kagum dengan kepakarannya dalam membaiki motosikal.