Noorkhiriah tak kuat lihat 3 beradik kehilangan ibu, cium plastik kuning baju terakhir lepaskan rindu. 'Ini kes paling akak tak tahan....'

Iklan

JIKA diselak ruang media sosial milik pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie, pasti ramai tahu, beliau tak asing lagi dengan kerja-kerja kebajikan. Orang kuat Pertubuhan Amal Nur by Khiriah itu juga sudah lali dalam mengendalikan kes-kes kematian yang melibatkan jenazah yang diuruskan.

Iklan
Iklan

Sehinggalah baru-baru ini, beliau berkongsi kedukaan tatkala menguruskan satu kes. Hatinya bagai dirobek dan sisi keibuannya tersentuh membabitkan kes jenazah seorang ibu muda. Pelakon komedi berusia 48 tahun itu mengakui tidak kuat sehingga menitiskan air mata.

Katanya, wanita yang diuruskan berkenaan meninggal dunia susulan ketumbuhan dalam badan dan sesak nafas.

Iklan

"Akak tak kuat, Allahuakbar. Berulang kali akak tengok video ni.

"Deras air mata ini, tidak boleh tipu rasa sakitnya (apabila orang disayangi) hilang tiba-tiba.

Iklan

"Semoga anak-anak ini diberi kekuatan atas kehilangan ibu mereka yang meninggal dunia dalam ambulans (di kawasan rumah) ketika dalam perjalanan ke hospital. Sakitnya hilang tiba-tiba, Allahuakbar.

"Mohon doakan anak-anak ini dan ayah mereka diberikan kekuatan menjaga amanah ALLAH ini.

"Ini kes yang akak paling tidak tahan. Akak mohon sangat kepada ALLAH berikanlah kesabaran buat mereka yang sedang diuji ini," kongsinya.

Dalam hantaran seterusnya, Noorkhiriah sempat berkongsi gelagat spontan kakak sulung berkenaan mencium pakaian terakhir dipakai arwah ibu seolah melepaskan rindu dan kemudian berpaling memeluk si adik di sisi.

"Allahuakbar, tak pernah rasa sesakit ini dalam kehilangan selain kehilangan ayah akak. Allahuakbar, lindungilah anak-anak ini Ya ALLAH," katanya.

Pelakon drama Mat Despatch itu juga turut menitipkan doa buat anak-anak kecil itu dan pesanan buat si bapa.

"Berikanlah mereka kasih sayang secukupnya walaupun mereka kehilangan 'syurga' pada usia yang terlalu muda.

"Allahukbar, ALLAH Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

"Pasti ada hikmah di sebalik kejadian dan ALLAH tidak akan menguji melebihi kemampuannya," kongsinya.

Warga maya turut meluahkan sedih dan bersimpati tiga kanak-kanak perempuan itu dan mendoakan agar mereka dapat membesar dengan baik biarpun tanpa kasih sayang seorang ibu.

"Saya faham perasaan anak-anak ini kerana saya pun alaminya. Kehilangan mak ketika masih memerlukan kasih sayang dan tunjuk ajar tunjuk ajar seorang ibu. Perit rasanya membesar tanpa ibu dan perit menanggung rindu tanpa penghujung."

"Membesar tanpa kasih sayang seorang ibu adalah perjalanan yang amat sukar. Anak-anak ini dicipta menjadi orang yang tabah. Moga kebahagiaan menyinari hidup mereka suatu hari nanti."

"Semoga anak-anak ini dilindungi dan mendapat perhatian ibu-ibu saudara dan keluarga. Membesar jadi anak solehah, doakan ibumu."

"Moga ALLAH kurniakan kekuatan buat mereka dan jadikan mereka anak-anak yang solehah dunia akhirat. Diluaskan rezeki buat bapa mereka dalam membesarkan puteri-puterinya, aamiin."