Lambaian hari terakhir Cikgu Spiderman sebelum pindah undang sebak. 'Mereka kejar hingga ke hujung jalan...'

Iklan

ORANG baik ramai sayang. Lebih-lebih lagi kalau guru yang baik, pasti jadi favourite dan kesayangan murid-murid.

Penulis yakin ramai yang masih ingat kisah guru sekolah pedalaman di Bumi Kenyalang ini. Cikgu Muhammad Tarmizi Awang@Yaacob, 38, yang sebelum ini viral sanggup memakai kostum Spiderman untuk menyambut murid Tahun Satu dan Dua pada hari minggu pertama persekolahan beberapa tahun lalu.

Iklan
Iklan

Malah guru berasal dari Semenanjung itu juga sanggup melaburkan wang poket untuk menghias kelas persis sebuah kafe dinamakan The Class Kafe demi menarik minat anak didik.

Keakraban guru Pendidikan Islam dan bahasa Arab itu dengan muridnya tidak disangkal lagi apabila beliau sanggup meluangkan masa dengan mereka pada cuti hujung minggu memandangkan dirinya menginap di kuarters sekolah berkenaan.

Iklan

Terlalu banyak kenangan manis dirakamkan menerusi TikTok guru berkenaan membuatkan warga maya turut bersedih selepas mengetahui guru berkenaan bakal berpindah.

Iklan

Ceritanya, baru-baru ini Cikgu Tarmizi tidak lagi mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Kut Daro, Sarawak dan menerima penempatan baharu di Selangor.

Perpisahan pendidik berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dengan murid kesayangannya pada hari terakhir mengundang sebak warganet.

Beberapa hari sebelum berpindah, guru berkenaan sempat mengagihkan barangan miliknya kepada murid-murid. Malah, Tarmizi sempat mengagihkan roti di The Class Kafe sebagai detik terakhir di sekolah berkenaan sebagai kenang-kenangan.

Malah, pada saat-saat terakhir, beliau menerima Anugerah Guru Terbilang, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pejabat Pendidikan Daro.

Menerusi TikTok, Cikgu Tarmizi sempat berkongsi murid-muridnya mengejarnya sehingga ke hujung jalan seolah-olah enggan berpisah.

Video berdurasi 33 saat itu mengundang sebak warga maya hingga meraih lebih 400,000 tontonan dan 31,000 tanda suka. Rata-rata meluahkan rasa sayu menyaksikan perpisahan itu.

"Mesti anak murid tu sayang sangat dengan cikgu."

"Cikgu buat kami turut merasai perasaan yang tercipta saat video ini dirakam."

"Sedihnya cikgu. Kalau rindu Cikgu boleh throwback tonton video lama dengan anak-anak murid di sini."

"Nama cikgu pasti terus disebut-sebut, cikgu akan terus diingati mereka sampai bila-bila."

"Siapa potong bawang ni? Sedihnya saya cikgu bila tengok larian mereka terhenti. Moga silaturahim tidak putus."

"My home land. Terima kasih kepada cikgu yang telah menaburkan bakti kepada anak Sarawak. Moga ALLAH SWT sentiasa melindungi kalian dunia dan akhirat."

"Aku asal org pedalaman. Kalau tidak kerana seorang cikgu dulu, mungkin kini aku bukan siapa-siapa pada hari ini. Moga beliau sihat selalu. Sayang beliau tidak dapat melihat aku berada di puncak."

The Class Kafe yang diusakan Cikgu Tarmizi sebelum ini pernah mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sambutan Hari Guru tahun ini.

Malah Fadhlina juga sempat meluangkan masa mengunjungi The Class Kafe ketika lawatannya ke Sarawak September lalu.