PERKONGSIAN jaguh berbasikal trek negara baru-baru ini mendapat perhatian ramai. Manakan tidak, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang bukan sahaja terkenal dengan kepantasannya ketika berkayuh malah turut terserlah sifat kebapaannya.
Selepas 'The Pocket Rocketman' ini mengumumkan persaraannya daripada pelumba berbasikal trek, beliau kini dilihat banyak menghabiskan masa bersama keluarga tercinta.
Ini dibuktikan apabila beliau membawa dua anak perempuannya iaitu Amna Maryam dan Amna Khadeeja bercuti jalan-jalan.
Lebih menarik lagi, pelumba berusia 36 tahun itu bercuti di Singapura bertiga tanpa kehadiran isteri tersayang, Datin Athiah Ilyana Abd Samat.
Pun begitu, bekas atlet negara itu mengakui bukan mudah untuk seorang ibu nak melepaskan anak perempuan bercuti tanpanya, walaupun dengan ayah sendiri.
"Buat pertama kalinya saya travel hanya dengan Maryam & Khadeeja. Sebelum ni kalau travel ke mana-mana mesti ummi nya ada juga. Saya kena bentang dua tiga kali jugaklah dekat parlimen untuk dapat kelulusan.
Bagaimanapun, bapa kepada empat orang anak itu menggunakan taktik minta simpati dengan alasan beliau sering ditinggalkan isteri dan anak-anak pergi bercuti ketika sibuk menjalani latihan.
"Usul saya yang mematikan hujah pihak pembangkang adalah setiap kali saya pergi travel untuk training camp dan competition, depa pernah pergi berjalan tanpa saya," ujarnya.
Ayah mana tidak gembira bila percutian pendek itu telah mengeratkan lagi hubungan beliau sebagai bapa kepada anak perempuannya. Maklumlah, sebelum ini jaguh sukan berbasikal trek itu sering menghabiskan masanya bagi persediaan pertandingan bertaraf dunia.
Tambahnya, banyak momen-momen indah sepanjang berada di Kota Singa itu. Lebih-lebih lagi ketika mendapat reaksi anaknya yang mengatakan percutian kali ini lebih menyeronokkan, walaupun tanpa ibu mereka.
"Well actually, trip macam ni boleh mengeratkan lagi connection antara bapak dan anak. Mostly anak-anak perempuan ni, tak mudah membesarkan mereka di dunia yang semakin tantangan ni. Yang dah kahwin dan ada nak sure faham kan? Yang tak kahwin lagi tu, korang kena kahwin dulu lah kalau nak faham. Hehe.
"Banyak pengalaman manis yang terukir dan sebagai seorang bapak, sudah tentu bila anak-anak bagitahu,"Abi this is the best trip i ever had”, membuatkan saya rasa setiap saat amat bermakna. (Ummi jangan jealous ye, hehe)," ujar beliau lagi.
Kedua-dua orang puterinya diberi pilihan untuk mencuba dan dibenarkan untuk meminta apa sahaja. Dan ramai menyangka anak perempuannya itu akan meminta sesuatu yang mahal.
Tapi siapa sangka, anak kesayangannya itu hanya mengidamkan makanan segera yang popular di negara jiran itu.
"Highlights of the trip, saya bagi mereka satu hari ‘Yes Day’ untuk mereka pilih apa yang mereka nak buat. Cuba teka apa yang mereka nak? Mereka nak makan Wingstop dan Popeye. Terpaksalah abi nya melayan, janji anak-anak gembirakan," ujar lagi.