'Belajar dengan wayar IJC di leher, buat hemodialisis...,' Pengorbanan ayah derma buah pinggang berbaloi, kini anak lelaki bergelar doktor

Iklan

Iklan
Iklan

SEKILAS pandang, perjalanannya nampak seperti mudah. Tapi siapa sangka, empat tahun lalu Dr Mohamad Zulkifli Ayub hampir hilang harapan selepas didiagnos dengan kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Ketika itu, beliau membayangkan impian menjadi doktor turut terkubur bersama kesihatannya.

Iklan

Bagaimanapun, sokongan keluarga terutamanya ibu tercinta membuatkan lelaki berusia 27 tahun itu bangkit dan kuat menghadapi ujian hidupnya.

Selain banyak menghabiskan masa menuntut ilmu, Mohamad Zulkifli juga terbeban dengan sesi hemodialisis yang wajib dilakukan tiga kali semingga selama empat jam setiap sesi.

Iklan

"Habis sahaja kelas saya akan menjalani sesi rawatan tersebut. Mahu melakukan aktiviti harian pun agak terbatas dan perlu berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan kuman," jelasnya.

Walaupun dengan wayar 'internal jugular catheter' (IJC) terpasang bertahun-tahun di leher, Zulkifli tetap gigih meneruskan pelajaran hingga berjaya menggenggam ijazah dan bergelar seorang doktor.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Setelah empat tahun berlawan rasa sakit, anak keenam daripada tujuh beradik itu seakan-akan mendapat sinar harapan baharu apabila ayahnya nekad mendermakan buah pinggang sebelah kiri kepadanya.

Demi melihat anaknya sihat, sang ayah itu beransur-ansur berhenti merokok walaupun dirinya sebelum itu seorang perokok tegar.

"Dia kesian tengok saya dan akhirnya bersetuju untuk menderma buah pinggang.

"Bermula dari situ, ayah beransur-ansur berhenti merokok hingga berhenti terus kerana untuk menjadi penderma seseorang tidak boleh merokok walhal dia perokok tegar,"ujarnya.

Zulkifli dan ayahnya kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan yang mengambil masa kira-kira lapan jam pada Selasa.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan turut menasihati orang ramai agar mendaftar sebagai penderma organ supaya dapat memberikan manfaat dan kehidupan yang lebih baik pada orang lain.