PAGI Isnin terasa begitu sayu bagi penyanyi Indonesia Hetty Koes Endang setelah mendengar khabar duka tentang pemergian komposer legenda, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab malam semalam.
Menurut Hetty, kehilangan itu membawa rasa hiba yang mendalam, apatah lagi jika mengingatkan kepada beberapa nama besar lain seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang telah pergi sebelumnya.
"Malam tadi saya ada acara dan tugas. Kemudian dengar khabar duka, jadi pagi ini saya beritahu kepada papa (suami) bahawa saya harus datang.
"Waktu kehilangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, saya tidak sempat untuk menghadiri pengembumian mereka kerana berada di Jakarta,Indonesia. Untuk kali ini saya perlu hadir ke sini,” katanya.
Bercerita mengenai kenangan bersama Allahyarham Ahmad Nawab, Hetty amat mengingati susuk tubuh arwah yang selalu menunggunya di studio dan memberikan perhatian penuh ketika merakamkan lagu bersama.
Dalam pada itu, Hetty yang kini berusia 67 tahun juga memperakui lagu ciptaan anak kelahiran Pulau Pinang itu begitu menusuk hati apabila dinyanyikan.
"Sudah tentu saya mempunyai memori yang tersendiri kerana ketika saya merakamkan lagu tersebut, arwah setia menunggu di studio.
"Saya memanggil arwah sebagai Ahmad dan pernah berkata kepadanya, apa sahaja lagu ciptaan beliau yang dinyanyikan pasti menusuk ke dalam hati.
Hetty Koes Endang berkata demikian ketika ditemui SinarPlus di kediaman Arwah Tan Sri Ahmad Nawab dekat Taman Melawar, Gombak, Kuala Lumpur, Isnin.
Walaupun selalu berulang-alik Malaysia-Indonesia bagi melakukan persembahan, Hetty memaklumkan Allahyarham Ahmad Nawab tidak pernah melepaskan peluang menonton persembahannya meski hanya dari kaca televisyen.
"Cucunya akan memberitahu yang arwah akan menonton persembahan saya.
"Oleh itu, saya harus datang untuk melihat dan memberi penghormatan terakhir. Saya betul-betul rasa kehilangannya,"ungkapnya.
Terdahulu, lagenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves pada Ahad.
Keadaan Allahyarham dikatakan lemah selepas dibenarkan pulang daripada menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.
Sekadar makluman, sepanjang hayatnya, beliau telah menggubah 2,000 lagu sejak memulakan kerjaya muzik pada usia 16 tahun.
Untuk rekod, beliau juga pernah dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.