'Tidak hilang Melayu di dunia.' Lengkap baju silat, bertanjak & bersamping, lelaki ini tamatkan cabaran pertandingan kecergasan bagaikan pahlawan jadi kebanggaan

Iklan

BANGGANYA melihat peserta dari Malaysia menyertai pertandingan kecergasan Hyrox di peringkat antarabangsa dengan pakaian tradisional bagaikan pahlawan Melayu.

Menerusi laman sosial TikTok, lelaki dikenali sebagai Kapten Raeiz Abdul Hamid menjadi perhatian warganet sehingga video berkenaan mencecah 2.1 juta tontonan.

Iklan
Iklan

"Orang pertama yang menamatkan Hyrox dengan memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu)," titipnya di Tiktok.

Iklan

Dikelilingi peserta dari seantero dunia yang hanya berseluar, bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia dan jurulatih kecergasan itu berlepas sebagai peserta pertama daripada empat atlet pasukan lelaki Malaysia dalam kategori Men’s Relay.

Iklan

"Aku ketepikan rekod aku demi memartabatkan agama, bangsa dan negara," kongsinya.

Raeiz dalam masa yang sama menyatakan, pemilihan pakaian tradisional iaitu baju Melayu dan bertanjak persis pahlawan langsung tidak mengganggu pergerakan.

Malah beliau akan memilih pakaian yang sama untuk kejohanan akan datang.

"Aku memilih memakai pakaian silat/pendekar/pahlawan Melayu lengkap bertanjak dan bersamping berbanding baju Melayu kerana ianya lebih sesuai untuk melakukan pergerakan.

"Syukur kerana aku berjaya menghabiskan acara dengan masih berpakaian lengkap. Insya-ALLAH ini adalah uniform rasmi aku untuk siri Hyrox World yang akan datang," katanya.

Beliau turut menitipkan rasa syukur pasukannya berjaya menamatkan pertandingan yang mencabar itu.

Malah, keempat-empat mereka memakai pakaian adat itu di sepanjang kejohanan.

"Alhamdulillah Team Hyrox Malaysia diizinkan-NYA menamatkan cabaran ini dengan berpakaian tradisional Malaysia (baju silat) yang sopan dan menutup aurat melambangkan adat dan budaya Malaysia di kala atlit-atlit dari negara lain kebanyakkan hanya berseluar pendek dan tidak berbaju.

"Barisan pendekar terdiri daripada @captraeiz @ken.nex @Nik Ashraff Nik Arif dan @nuqameer. Terima kasih sahabat-sahabat Red Hot Dad!

"Insya-ALLAH usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara Malaysia di mata dunia terutamanya dalam sukan khususnya sukan ini akan diteruskan," kongsinya.

Warganet teruja dengan perkongsian itu memuji tindakan Raeiz dan pasukannya memilih pakaian berindentitikan Malaysia.

Mengucapkan tahniah atas kejayaan menamatkan perlumbaan, rata-rata warganet mengakui pasukan negara membuktikan pakaian lengkap menutup aurat tidak menghalang untuk bersukan.

"Steady Raeiz Hamed. Mantap dan sangat berketerampilan."

"Kemas. Anda telah membuktikan kepada orang yang mengatakan susah untuk bersukan dengan berpakaian menutup aurat sempurna. Alhamdulillah semoga ALLAH sentiasa permudahkan segala urusan, aamiin."

"Terbukti bangsa Melayu memang hebat. Tahniah."

"Alhamdulillah Tahniah kerana bawa gaya bersukan menurut sunnah Nabi Muhammad SAW. Allah SWT bantu kita bila kita jaga apa yang Allah SWT suruh.

"Allahuakhbar tidak akan hilang Melayu di dunia. Terbaik captain."

"Terbaiklah.. Terima kasih kerana memperkenalkan dan mempamer kehebatan silat yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu."

Sekadar info, pertandingan kecergasan Hyrox di adakan di beberapa lokasi di seluruh dunia. Peserta perlu melalui beberapa cabaran termasuk menggabungkan lapan kilometer (km) larian melalui lapan stesen senaman.

Acara perlumbaan berkenaan diselang-selikan dengan senaman seperti SkiErg, sled push, sled pull, lompat burpee, mendayung, membawa dua kettlebell, lunges sambil membawa beg pasir berjalan lunge dan 100 atau 75 balingan wall ball.

Sumber: TikTok