SESUNGGUHNYA ALLAH lebih menyayangi. Isteri kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar atau Cikgu Din yang tular baru-baru ini, kembali ke rahmatullah jam 9 malam tadi.
Allahyarham Nur Atiqah My Yusoff, 30 yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Solat jenazah Allahyarham diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Tumpat.
Berita duka pemergian isteri guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok in Kanowit, Sarawak itu dikongsikan abang Allahyarham, Izzuwan Yusof di Facebook.
"Mohon maafkan salah silap beliau dan halalkan makan minumnya. Kalau arwah ada hutang boleh PM saya. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Tenanglah di sana wahai adindaku, aminn," kongsinya.
Khabar sedih itu tersebut turut dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi laman sosial Facebook.
"Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah binti My Yusoff, isteri kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar (Cikgu Din) dari SJKC Ming Wok, Kanowit, Sarawak.
"Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah. Al-Fatihah," kongsinya.
Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian warganet di Facebook, Cikgu Din dibelenggu resah dan harapan untuk bertukar ke Semenanjung demi isterinya yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Beliau yang berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan Allahyarham Nur Atikah ang semakin memburuk.
Lebih menyedihkan, Cikgu Din kemudian disahkan menghidap masalah mental atau major depressive disorder (MDD).
KPM mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.
Pasangan berkenaan memiliki seorang anak lelaki berusia empat tahun.