PERSONALITI media sosial kesayangan ramai, Khairul Aming, dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak pulang daripada Misi Bantuan Orang Baik (BOB) di Kelantan baru-baru ini.
Pemilik nama Khairul Amin Kamaruzaman, 32 itu sebelum ini telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta. Namun, keadaannya memerlukan rawatan lanjut di hospital selepas simptom yang dialaminya berlarutan.
Dalam sesi live, Khairul Aming, yang terkenal dengan video masakan kreatif serta produk Sambal Nyet memaklumkan ia disebabkan oleh jangkitan bakteria daripada banjir.
"Itulah punca kepada cirit-birit selama empat hari, sampaikan lesu badan.
Dalam pada itu, Khairul Aming juga berkata jangkitan itu tidak diketahui puncanya.
"Punca jangkitan tidak diketahui, sama ada daripada makanan tidak bersih atau daripada air banjir. Saya pun memang lemah antibodi," ujarnya.
Selama empat hari berterusan dan mengalami gejala cirit-birit hanya mengeluarkan cecair, doktor yang merawat mencadangkan beliau ke hospital kerana bimbang berak berdarah.
Terdahulu, Khairul mula mengalami simptom jangkitan tersebut sejurus kembali dari misi kemanusiaan yang mana beliau terlibat secara aktif membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan terjejas.
Menerusi satu rakaman video yang tular di TikTok, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman dilihat terbaring di atas katil sebuah klinik ditemani beberapa rakan.
"Beliau kelihatan sangat letih selepas misi itu, tetapi tidak mengendahkan keadaannya kerana fokus membantu orang lain. Kini, doktor sedang memantau keadaannya dan menjalankan ujian lanjut,” kata sumber tersebut.
Khairul Aming menerima banyak doa dan sokongan daripada peminat di media sosial sejak berita keadaannya tersebar.
Ujar mereka:
"Semoga Khairul Aming cepat sembuh dan kembali aktif seperti biasa. Kami tahu dia seorang yang sangat berdedikasi dalam membantu masyarakat."
"Masih sempat lagi senyum dan ketawa walaupun dalam keadaan sakit. Ya ALLAH permudahkan urusan Khairul Aming."
"Semoga Khairul Aming cepat sembuh. Rehatlah. hairul Aming sudah buat yang terbaik bantu semua orang."
"Jaga diri Khairul Aming anda begitu berharga dan rare. Moga ALLAH sembuhkan."
Sumber: Tiktok