LULUH hati membaca perkongsian Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi nasib sepasang suami isteri yang terpaksa menunggu selama 14 hari untuk mengebumikan jenazah bayi mereka.
Sudahlah kehilangan anak, Muhammad Adham Mikail yang meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan, jasad si kecil itu juga terpaksa dibekukan oleh sebuah hospital swasta selama dua minggu susulan si bapa tidak mampu untuk membayar bil hospital berjumlah RM3,600.
Tidak sekadar itu, bahkan, ibu Adham Mikail juga tidak dibenarkan keluar dari wad untuk dijadikan sebagai jaminan sehinggalah si bapa selesai menjelaskan bil rawatan pada 11 pagi semalam.
"Adik Muhammad Adham meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan asbab tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis, penghuni syurga.
"Hancur luluh bila melihat jenazah anak tanpa dosa ini, 100 peratus beku. Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia pada 24 November ditahan selama dua minggu dan diletakkan dalam peti sejuk," kongsi Mr Wan Chai.
"Menurut si ayah, isterinya mengadu sakit bersalin sebelum dihantar oleh jirannya ke hospital tersebut.
"Ketika kejadian, si ayah sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya,” katanya.
Susulan keadaan jenazah yang seratus peratus beku, Wan Chai berkata pihaknya turut menghadapi cabaran untuk menguruskan dan perlu menyahbeku jasad si kecil itu terlebih dahulu menggunakan air suam sebelum dimandi dan dikafankan.
"Kami menghadapi masalah sewaktu hendak menguruskan jenazah wildan syurga, adik Muhammad Adham Mikail.
"Terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi wildan syurga tersebut,” ujarnya lagi.
Tidak mendedahkan maklumat berkaitan hospital tersebut bagi menggelakkan sebarang masalah timbul kepada pasangan suami isteri itu, Mr Wan Chai berkongsi urusan pengebumian menggunakan hasil dana infaq orang ramai dan anak syurga itu disemadikan di Selat Klang, Selangor.
Umum mengetahui jenazah perlu diselesaikan pengebumian secepat mungkin.
Tindakan pihak hospital menahan jenazah anak kecil itu dianggap warganet sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Kenapa tidak sempurnakan dulu pengebumian. Disebabkan tidak cukup duit, sanggup tahan jasad si kecil ini."
"Allahuakbar orang-orang sekeliling kenapa tiada yang tolong bayarkan atau cari dana. Wahai anak, bermainlah di taman syurga."
"Moga ALAH beri ganjaran syurga buat ibu bapa yang kehilangan anak. Sungguh, saya sedih apabila tahu keadaan ini. Sedangkan ramai orang hospital yang tahu hukum drai Allah untuk menyegerakan pengebumian."
"Tergamaknya, tiadakah budi bicara? Orang lain tengok sahajakah?"
Sumber: Instagram